173 kadet JPJ layak ikuti MyLesen Kadet

in Edisi Selangor KL by


SUBANG JAYA – Seramai 173 pelajar sekolah di Selangor yang menyertai  kadet Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)  layak mengikuti Program MyLesen Kadet, kata  Pengarah JPJ Selangor, Nazli Md Taib.


Beliau berkata, kesemua pelajar yang layak itu sudah genap usia 16 tahun dan akan diuruskan oleh pihak JPJ untuk mengambil lesen secara sah.


“Program MyLesen Kadet ini, kita mudahkan pelajar ini dan akan bantu mereka untuk mendapat lesen motosikal Kelas B2 sahaja, harganya sama seperti program MyLesen iaitu RM199 berbanding harga biasa.


“Respons menggalakkan diterima daripada semua pihak terutamanya ibu bapa kerana mereka juga menghadapi kekangan untuk membawa anak ke sekolah memandu bagi ibu bapa yang bekerja,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis Pelancaran Program MyLesen Kadet JPJ Peringkat Selangor di Sekolah Agama Menengah Bestari, Subang Jaya, di sini, hari ini.  


Beliau yakin statistik ini akan bertambah apabila ramai lagi pelajar yang mencapai umur 16 tahun.


Menurut Nazli,  program MyLesen Kadet JPJ ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang.


Setakat ini, semua sekolah di tujuh daerah dalam negeri Selangor yang mempunyai Kadet JPJ telah memilih pelajar mereka untuk program tersebut.


“Buat masa ini, pihak JPJ sedang fokus untuk menambah lagi Kadet JPJ di semua sekolah untuk melayakkan lebih ramai pelajar memiliki lesen secara sah.


“Jika ada pelajar yang mahu turut serta perlulah menerusi program MyLesen iaitu terus ke sekolah memandu,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]