Bukti bergambar Harapan tidak kukuh

in Edisi by


PARIT BUNTAR – Pas kawasan Parit Buntar menyifatkan dakwaan pemimpin parti itu menerima cek RM25,000 daripada bakal calon BN Parlimen Parit Buntar melalui akaun peribadi bertujuan membeli undi Pas sebagai tidak kukuh dan berasas.


Yang Dipertuanya, Abdul Bahrin Md Desa berkata, pendedahan bukti bergambar berupa sekeping cek di bawah Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri(SSI) oleh pemimpin Harapan hari ini tidak menggambarkan situasi sebenar berlaku.


Jelasnya, permohonan sumbangan dikemukakan pengerusi sebuah Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) kepada kerajaan negeri melalui SSI sebelum ini, dibuat semata-mata atas kapasiti pembangunan sekolah.


Menurutnya, kelulusan pemberian dana sumbangan oleh SSI dibuat pada waktu kerajaan negeri masih lagi belum terbubar, sekitar bulan Februari lalu.


“Dalam tajuk surat permohonan dibuat pengerusi Pasti tersebut dinyatakan permohonan untuk dana pembangunan sekolah, bukan atas tujuan politik.


“Memandangkan SSI di bawah seliaan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, pastinya cek kerajaan negeri itu ditandatangani sendiri oleh beliau.


“Cuma cek itu terpaksa ditulis atas nama individu iaitu pengerusi Pasti itu sendiri berikutan permohonan akaun tabung pembangunan sekolah terbabit masih tidak diluluskan bank,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.


Abdul Bahrin berkata, prosedur sama sebenarnya digunakan oleh mana-mana jawatankuasa pentadbir sekolah dan surau bagi memohon sumbangan dana pembangunan infrastruktur masing-masing.


Menurutnya, sebagai contoh, dia sendiri selaku YDP PIBG turut memohon dana program kecemerlangan Sekolah Kebangsaan Sungai Burong, Kuala Kurau melalui prosedur sama.


“Cuma bezanya, sumbangan disalurkan kerajaan negeri melalui SSI dimasukkan terus ke dalam akaun PIBG sekolah bagi memenuhi keperluan program kami.


“Cuma dalam isu pemberian cek kerajaan negeri untuk pembangunan Pasti terbabit, dana terpaksa disalurkan melalui akaun individu atas masalah teknikal dihadapi pihak sekolah,”katanya.


Abdul Bahrin turut mempersoalkan tindakan pemimpin Harapan mengaitkan pemberian cek kerajaan negeri kepada pengerusi Pasti dengan tuduhan kononnya itu inisiatif Abdul Puhat mewakili BN Parlimen Parit Buntar hendak membeli undi Pas.


Menurutnya, sehingga kini, Abdul Puhat masih belum disahkan sebagai calon BN lagi dan masih memegang jawatan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri.


“Selain itu, pengerusi Pasti terbabit juga merupakan ahli biasa Pas dan tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam parti sejak dua tahun lalu.


“Justeru, mana logiknya seorang pemimpin kerajaan negeri yang belum disahkan sebagai calon BN, bertindak salur dana kerajaan kepada ahli biasa Pas kononnya bagi pancing undi ahli Pas?”


Abdul Bahrin melihat pendedahan kononnya pemimpin Pas mengambil duit BN berdasarkan bukti dikemukakan pemimpin Harapan adalah tidak kukuh dan tuduhan rambang.


“Kalau depa mainkan isu makan duit Umno, Harapan kena gunakan bukti lebih kukuh.


“Saya lihat pendedahan secara rambang itu bertujuan hendak menjejaskan imej Pas kawasan dan membunuh kredibiliti Datuk Seri (Abdul Puhat) sendiri.


“Selama ini, permohonan untuk kepentingan parti tidak pernah dan akan diluluskan kerajaan BN. Situasi itu tidak mungkin akan berubah menjelang PRU14,”katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]