Inisiatif majukan sukan ragbi

in Bisnes by


BANK Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) telah melancarkan satu lagi usaha penjenamaan baharu bersama Kesatuan Ragbi Malaysia (MRU), Kad Debit-i Bank Islam Visa MRU.


Sebelum ini Bank Islam telah berkolaborasi bersama sembilan pertubuhan sukan di mana ia meliputi jenis sukan seperti bola sepak, hoki dan badminton.


Majlis pelancaran kad ini telah disempurnakan Bendahari Kehormat, Kesatuan Ragbi Malaysia (MRU), Datuk Ahmad Zaki Zahid dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Khairul Kamarudin dengan matlamat untuk mendapatkan sokongan kewangan bagi meningkatkan sukan ragbi negara.


Khairul berkata, pelancaran kad ini merupakan sebahagian daripada strategi Bank Islam dalam meluaskan rangkuman kewangannya kepada peminat-peminat sukan seluruh tanah air.


“Sebagai pengantara kewangan, adalah menjadi misi kami dalam membantu merealisasikan hasrat Bank Negara Malaysia bagi membentuk masyarakat tanpa tunai (cashless society).


“Sehingga Februari 2018, pengeluaran kad debit Bank Islam telah pun hampir mencapai 3.2 juta dan 87.4 peratus kad adalah daripada kad penjenamaan bersama persatuan sukan iaitu bola sepak dan hoki.


“Kami akan meneruskan lagi usaha mencari peluang untuk bekerjasama dengan persatuan sukan yang lain bagi menyokong pembangunan sukan-sukan Malaysia. Dengan pelancaran kad ini, kami menganggarkan untuk mengeluarkan 50 ribu keping kad yang secara tidak langsung akan menyumbang secara signifikan kepada pembangunan sukan ragbi melalui Kesatuan Ragbi Malaysia,” katanya.


Jelasnya, kad ini menawarkan banyak faedah menarik kepada penggunanya dan juga sebahagian fi pengeluaran dan tahunan kad tersebut akan disalurkan ke MRU sebagai sumbangan daripada Bank Islam dan pelanggannya untuk pembangunan sukan ragbi.


Dengan setiap kad yang dikeluarkan dan diperbaharui katanya, sebanyak RM2 akan disalurkan kepada MRU bagi tujuan tersebut.


Dalam pada itu, Ahmad Zaki berkata, pihaknya amat berbesar hati dengan peluang yang diberikan ini.


“Selain itu, saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Bank Islam atas penghargaan yang diberikan. Saya percaya lebih banyak perkara-perkara hebat akan kita kecapi bersama di masa akan datang,” katanya.


Sempena pelancaran ini, Bank Islam turut memperkenalkan Kempen “Fearless Red Hibiscus” kempen yang dicipta khas untuk para pemegang kad ini.


Dengan permohonan kad debit tersebut dan perbelanjaan runcit minima berjumlah RM100, pemegang kad akan layak untuk kemasukan kempen secara automatik dan berpeluang memenangi hadiah-hadiah wang tunai bernilai sehingga RM3,000.


Kempen bermula 16 April baru-baru ini akan berakhir pada 31 Julai 2018.


Kad Debit-i Bank Islam Visa MRU boleh didapati di cawangan-cawangan Bank Islam seluruh negara bermula 16 April 2018.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]