Kami dah tak tahan hidu bau busuk!

in Edisi Selangor KL by


SUNGAI JANGGUT – Masih tiada kesudahan apabila sungai di kawasan ini berbau busuk dan berminyak didakwa gara-gara sisa kumbahan kilang sekali gus menjejaskan sumber pendapatan nelayan dan penternak kerang.


Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) Sungai Janggut, Tham Tian Hock, 58, berkata, masalah pencemaran sungai yang berlarutan lebih 10 tahun itu bagaikan tiada penghujungnya.


Menurutnya, bukan sahaja sumber ikan semakin berkurangan malah hasil kerang yang ada di perairan Sungai Janggut juga terjejas apabila saiz semakin mengecil.


“Sebelum ini ada orang datang periksa air sungai tapi macam tak ada penyelesaian… hari-hari penduduk mengadu terpaksa bau busuk dan sekarang tidak boleh lepak tepi sungai.


“Jadi mereka mengadu tak selesa bau busuk lagi-lagi cuaca panas sekarang ni bau naik sampaikan kepala jadi pening… nak lepak luar pun tak boleh lama sebab tak tahan bau busuk,” katanya.


Tian Hock berkata, nelayan Sungai Janggut yang berdepan isu sama turut memohon pihak berwajib menyelesaikan masalah pencemaran yang ternyata lebih teruk ketika ini.


“Nelayan pun merungut bila kerang jadi makin kecik dan ada yang kosong… jadi mereka bimbang hasil pendapatan terjejas disebabkan sikap pihak yang mengabaikan nasib mereka.


“Saya pernah mengadu dekat pihak berkuasa tempatan (PBT) baru-baru ni tapi masih tiada perkembangan positif… masalah sudah bertahun tak dapat diselesaikan.


“Orang kampung bukan nak halang pembangunan kilang di kawasan ni tapi mereka jangan ambil mudah… kena jagalah sisa kumbahan jangan buang terus ke sungai,” luahnya.


Jika sebelum ini nelayan mampu hidup selesa dengan hasil keuntungan jualan kerang namun kini terpaksa mencari sumber pendapatan lain untuk meneruskan hidup.


Tian Hock berkata, jika masalah pencemaran sungai ini berterusan tanpa ada tindakan pihak berwajib, tidak mustahil ramai penternak kerang terpaksa gulung tikar kerana tidak sanggup menanggung rugi.


“Sebelum ini, banyak kali saya bangkitkan isu pencemaran kepada pihak berkenaan namun bila pemeriksaan dijalankan, punca tidak dapat dikenal pasti sehingga mengecewakan kami.


“Saya memohon pihak berwajib supaya dapat tampil membantu menyelesaikan isu pencemaran ini yang dilihat tidak berkesudahan… sampai bila nelayan nak tanggung kerugian?,” soalnya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]