Kerajaan memeterai kontrak RM17.8b di Natsec 2018

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kerajaan, melalui Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan telah memeterai lapan kontrak, tiga memorandum persefahaman (MoU), 11 surat penerimaan dan satu perjanjian lain yang bernilai RM17.8 bilion pada Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (Natsec 2018) yang diadakan bersempena dengan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA 2018) di sini, hari ini.


Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perjanjian-perjanjian itu mencerminkan kesediaan kerajaan dalam menyediakan dana untuk mengoptimumkan keselamatan negara, serta mengukuhkan komitmen bagi melindungi kedaulatan negara tanpa kompromi.


“Kebanyakan kontrak tersebut disumbangkan oleh enam program ofset, yang bernilai kira-kira RM14.4 bilion,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian itu di sini, hari ini.


“Program-program ofset ini merupakan alternatif  terbaik dalam meningkatkan keupayaan pertahanan negara, di mana Kementerian Pertahanan mendapat teknologi ketenteraan termaju daripada beberapa ekonomi pertahanan terkemuka termasuk pemindahan teknologi dan pengetahuan kepada industri tempatan dalam mewujudkan kecekapan kejuruteraan bagi mengurangkan pergantungan kepada syarikat luar negara,” kata Hishammuddin.


Sementara itu, dua MoU telah ditandatangani antara Kementerian Pertahanan dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) membabitkan 165 pegawai UPNM dan 45 pegawai UKM bagi melahirkan anggota tentera yang cekap.


Hishammuddin berkata, perjanjian itu ditandatangani selepas kejayaan kerjasama yang berterusan antara Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri berikutan kejayaan dalam melaksanakan beberapa program Strategi Lautan Biru  Kebangsaan.   


Bersempena dengan majlis berkenaan, terdapat juga acara menandatangani perjanjian melibatkan pemindahan teknologi dan peralatan pertahanan antara Jepun dan Malaysia, yang telah ditandatangani oleh Duta Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi.


Perjanjian itu merangkumi  penubuhan satu rangka kerja undang-undang bagi kedua-dua kerajaan mengenai peralatan pertahanan dan pengendalian teknologi untuk perlaksanaan projek serta bersama-sama menyumbang kepada kestabilan dan keamanan antarabangsa. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]