Mas Ermieyati komited tawan hati pengundi

in Politik by


MASJID TANAH – Wanita yang sering mengenakan tudung bawal ketika turun padang menyantuni rakyat kawasannya, Mas Ermieyati mencatatkan sejarah tersendiri apabila menjadi Ahli Parlimen wanita pertama Melaka pada 2013.


Beliau yang juga anak jati Parlimen itu berkata, jika dilihat pada mata kasar sememangnya banyak pembangunan telah dibawa BN dalam kawasan jajahannya itu, namun masih banyak perancangan dan harapan ingin diteruskan termasuk gerak kerja khusus bagi mengangkat anak muda yang mampu berdaya saing, bukan sahaja dalam sosial ekonomi, malah pelbagai aspek lain termasuk pendidikan.


Mas Ermieyati yang lebih mesra dengan panggilan Amy turut mengakui, masih banyak pelan perancangan belum dapat direalisasikan dalam tempoh empat tahun 11 bulan ini, dan berharap masih ada peluang untuknya meneruskan kesinambungan membela nasib rakyat di kawasannya yang mempunyai lima Dun.


“Memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen wanita pertama di Melaka adalah tanggungjawab berat, besar dan penting. Saya banyak belajar dalam tempoh itu dan ia pengalaman terbaik buat saya.


“Terima kasih kepada penyokong dan pengundi yang sentiasa memberi kepercayaan. Saya doakan semoga Masjid Tanah terus makmur, lebih gemilang dan terus cemerlang,” katanya.


Wanita yang murah dengan senyuman ini berkata, seperti wakil rakyat lain yang sibuk dengan beberapa jawatan, ia bukanlah penghalangnya mengadakan program ziarah kasih setiap minggu dan program lain.


“Bukan sahaja lawatan, sejak saya dipilih sebagai wakil rakyat, saya telah pun mewujudkan sesi pemberian lampin pakai buang dewasa secara percuma.


“Lampin ini kita beri kepada masyarakat memerlukan dan mereka boleh mengambilnya di Pejabat Khidmat Masyarakat Parlimen Masjid Tanah setiap bulan. Ada juga kita hantarkan dari rumah ke rumah. Mungkin nampak kecil pemberian itu tapi besar di hati penerima,” katanya.


Mas Ermieyati berkata, walaupun pihaknya menyedari kehadiran pembangkang untuk menawan kerusi Parlimen itu, namun percaya penduduk bijak membuat pilihan agar BN dapat terus mempertahankan kubu kuat BN.


 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]