Muara cetek jadi isu Dun Pengkalan Berangan

in Politik by


MARANG – Masalah nelayan pesisir pantai di kawasan Mercang dan sekitarnya, yang mengalami kesukaran untuk keluar dan pulang dari laut akibat muara sungai cetek akan diselesaikan.


Penyelesaian dinyatakan Calon Bersatu di Dun Pengkalan Berangan, Aidil Ahmad, 48, yang berjanji menyelesaikan masalah nelayan di kawasan terbabit sekiranya mendapat mandat rakyat pada PRU14.


Bekas Bendahari Umno bahagian itu berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dan perkara itu sudah mendapat persetujuan pimpinan tertinggi Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Calon Harapan (Bersatu), Aidil Ahmad.


“Itu satu daripada matlamat (perjuangan) Harapan, dan saya sudah mendapat restu kepimpinan tertinggi Harapan, daripada Tun (Dr Mahathir) sendiri, saya sudah berjumpa dan beliau bersetuju.


“Jika saya terpilih, masalah muara itu akan selesai dalam tempoh tiga tahun (sebelum PRU seterusnya). Saya akan tekankan perkara ini sebab ia tertumpu kepada Dun Pengkalan Berangan,” katanya.


Beliau dalam masa sama turut mempertikaikan usaha kerajaan BN berhubung masalah muara Sungai Merchang kerana mengambil masa terlalu lama bagi mengatasi masalah nelayan di kawasan berkenaan.


“Kalau peruntukan dah ada, dan diluluskan sudah lima tahun berlalu namun keperluan nelayan dianggap tidak serius menyebabkan masalah itu sehingga kini masih belum dapat diselesaikan,” katanya.


Isu yang sama turut diketengahkan Ketua Penerangan Pas Marang, Sulaiman Sulong yang disebut sebut akan menjadi calon bagi mewakili Pas di kerusi Dun Pengkalan Berangan pada PRU14 terdekat ini.

Bakal calon Pas, Sulaiman Sulong.


Isu itu mendapat lebih tumpuan apabila seorang nelayan Azlim Mohd Nor, 42, terkorban akibat lemas selepas bot yang dinaiki terbalik di muara sungai Merchang dalam kejadian berlaku pada awal bulan ini.


Sulaiman menyifatkan kejadian yang berlaku pada awal pagi Ahad itu merupakan satu perkara yang cukup serius seterusnya meningkatkan kebimbangan para nelayan yang turun ke laut mencari rezeki.


“Laut merupakan antara sumber para penduduk di sekitar Mercang mencari rezeki dan dalam masa yang sama muara tempat keluar masuk para nelayan mencari rezeki.


“Dan dalam masa yang sama mereka berada dalam keadaan suasana yang tidak selesa kerana muara sungai ini antara muara yang cetek,” katanya kepada pemberita ketika membuat tinjauan 8 April lalu.


Oleh itu, beliau yang ditemani Ketua Pemuda Pas Kawasan Marang, Yusof Abdul Hadi berkata, rakyat  menuntut janji telah dibuat kerajaan Umno-BN bagi membina penghadang gelora di situ.


Dalam pada itu, Yusof pula berkata, setiap tahun kerajaan Umno-BN berjanji namun sebaliknya janji yang ditaburkan hanya tinggal janji.


Sehubungan itu, beliau menyeru kepada rakyat khususnya penduduk Mercang supaya membuat perubahan pada PRU14.

Ketua Umno Bahagian Marang, A Latiff Awang.


“Pas mengharapkan pihak berkuasa bersungguh-sungguh untuk mengambil tanggungjawab yang serius bagi memastikan muka kuala ini selamat dan terjamian laluan keluar masuk,” katanya.


Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Marang, A Latiff Awang juga Adun Pengkalan Berangan sebelum ini telah meminta nelayan bersabar dan pihak berkepentingan tidak mempolitikkan isu muara.


Beliau pada tahun lalu telah memaklumkan kepada Sinar Harian bahawa kerajaan negeri sedang dalam proses penyelesaian, namun bukan mudah untuk diselesaikan dalam masa yang singkat.


Ini kerana katanya, proses perlaksanaan untuk membina banteng pemecah ombak memerlukan tempoh tertentu yang melibatkan perkara teknikal, kajian dan sebagainya.


Beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Pusat telah meluluskan peruntukan RM43 juta membina benteng pemecah ombak di muara Sungai Merchang bagi kemudahan laluan bot nelayan.


Menurutnya, projek di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar itu juga telah tersenarai dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11), akan dilaksanakan selepas perkara teknikal dan kajian selesai.


“Muara Sungai Merchang cetek bakal diperdalamkan di mana kerajaan negeri dengan sokongan Kementerian telah berjaya menyenaraikan muara ini sebagai  satu muara akan dibuat pemuliharaan melalui RMK-11.


“Perkara ini telah menampakkan kemajuan di mana pada awal tahun ini, kerja-kerja awalan seperti pemetaan serta kajian telah dibuat oleh Jabatan Pengairan dan Saliran,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian pada Majlis Pelancaran Sukarelawan Perikanan (Super) dan Melabuhkan Unjam di Pangkalan Merchang, di sini tidak lama dahulu.


A Latiff yang juga Adun Pengkalan Berangan berkata, kerajaan negeri juga memperuntukkan lebih RM20,000 pada setiap tahun bagi kerja-kerja mendalamkan muara sebagai satu penyelesaian jangka pendek.


“Ianya sebagai langkah penyelesaian sementara di mana kerja-kerja rutin iaitu menggali dan mendalamkan laluan-laluan untuk ke laut ini sentiasa dibuat dari semasa ke semasa,” katanya.


Yang pasti ketua umno bahagian Marang itu akan terus memperjuangkan isu muara hingga selesai malah beliau dilihat berjaya menggunakan peruntukan kerajaan negeri dengan sebaiknya untuk pembangunan lain.


“Antaranya, pembinaan masjid baru, kompleks sukan, bangunan perniagaan, dalam proses – jambatan di Merchang, satu bangunan perkedaian di Binjai Tanah dan pecah tanah bangunan LPKI di Binjai Rendah.   


“Selepas 28 April, semasa kempen pilihanraya, projek Kompleks Sukan bernilai RM13 juta di Wakaf Tapai pula akan dimulakan. Kerja-kerja meratakan tanah pun sudah bermula,” katanya ketika dihubungi.


Projek pembangunan itu dapat diadakan melalui peruntukan kerajaan negeri kepada Dun Pengkalan Berangan yang menjadi Dun tunggal dikuasai BN di Parlimen Marang pada PRU13.


“Semua sekali projek itu berjumlah RM30 juta,” katanya yang dijangka akan memepertahankan kerusi Dun Pengkalan Berangan yang dimenanginya pada PRU13 pada pilihanraya terdekat ini.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]