Pas dijangka tidak capai prestasi terbaik

in Politik by


SHAH ALAM – Pas berkemungkinan tidak dapat mencatat prestasi yang lebih baik pada PRU14.


Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata, parti itu dijangka mengalami kemerosotan dari segi jumlah kerusi dimenangi.


“Hakikat bahawa Pas tidak lagi bersama Pakatan Harapan menyebabkan jenteranya tidak lagi sekuat pada PRU13 apabila ia mendapat dukungan daripada parti komponen pakatan pembangkang yang lain,” katanya kepada Sinar Harian.


Beliau berkata demikian, mengulas kedudukan Pas pada PRU14.


Mengulas lanjut, Jeniri berkata, tambahan pula kini sebahagian daripada kekuatan Pas telah terhakis apabila puak yang tidak sehaluan dalam parti itu menubuhkan Amanah.


“Sebahagian penyokong yang sebelum ini sokong Pas beralih sokong parti baharu sehingga kekuatan Pas turut terhakis.


“Silap-silap gaya, Pas akan mengalami prestasi kekalahan teruk,” katanya.


Pas sebelum ini melaungkan amaran bahawa parti itu di bawah gabungan Gagasan Sejahtera bersedia untuk menjadi kerajaan.


Bagi memastikan perkara itu berlaku, Pas menerusi Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meletakkan sasaran untuk Pas bertanding di 160 kerusi pada PRU14.


Abdul Hadi berkata, kerusi itu termasuk termasuk calon-calon daripada Gagasan Sejahtera.




 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]