Permainan Pas untuk pecah undi: Mahfuz

in Politik by


SHAH ALAM – Di sebalik keputusan bertanding di 160 kerusi, terdapat tanggapan bahawa wujud permainan Pas bagi memecah undi Pakatan Harapan untuk memberi kedudukan selesa kepada BN.


Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar dalam kenyataannya berkata, beliau sedia maklum Pas sebelum ini tiada kemampuan kewangan besar yang dapat menampung perbelanjaan pencalonan kerusi berkenaan.


“Adakah ahli Pas sanggup bergolak gadai mencari wang untuk sasaran yang tidak realistik? Atau terdapat permainan lain di sebaliknya?,” katanya.


Menurutnya, jika benar Pas hendak bertanding 160 kerusi Parlimen, deposit calon dan bahan kempen sahaja sudah mencecah RM2.4 juta iaitu dengan mengambil kira deposit sebanyak RM15,000 untuk sebuah kerusi Parlimen.


“Manakala untuk belanja pilihan raya sahaja sekurang-kurangnya sebanyak RM100,000 bagi sesebuah kerusi.


“Maka secara keseluruhan yang diperlukan ialah paling kurang sebanyak RM18.4 juta,” katanya.


Beliau berkata, sekiranya perbelanjaan pilihan raya Pas mencapai had maksima yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) RM200,000, maka untuk 160 kerusi Parlimen, ia akan mencecah RM34.40 juta.


“Wajar ahli bawahan menghitung kemampuan yang ada pada jentera Pas dan juga kewangan parti yang gigih mengutip sumbangan atas nama jihad,” katanya.


Mahfuz berkata, beliau tidak pasti sama ada Pas membuat keputusan muktamad, terutamanya Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sentiasa mengubah sasaran dan jangkaan.


“Sebelum ini, Pas menyatakan hendak mengekalkan 80 kerusi, kemudian menjadi 100, 120 dan 130 kerusi,” katanya.


Penyandang kerusi Pokok Sena itu berkata, beberapa hari lepas, Setiausaha Agongnya, Datuk Takiyuddin Hasan mengatakan akan bertanding 150 kerusi sebelum Abdul Hadi mengumumkannya.


“Apabila sentiasa berubah jumlah kerusi yang hendak ditandingi, ini menunjukkan betapa berserabutnya percaturan Pas,” katanya.

 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]