Selayang perlu lebih banyak pelaburan

in Nasional by


SELAYANG – Ahli Parlimen Selayang, William Leong berkata, banyak perancangan yang dirangka bagi kawasan berkenaan, namun tidak semua dapat direalisasikan berikutan kekangan perlaksanaan kerana  masih berstatus pembangkang di Parlimen.


Menurutnya, beliau berharap diberikan sekali lagi peluang dicalonkan pada PRU14, seterusnya berjaya membentuk kerajaan pusat.


“Menjadi pembangkang adalah satu cabaran untuk membantu penduduk. Saya berharap kali ketiga kita berjaya membentuk kerajaan dan melaksanakan apa yang telah dirangka.


“Di bawah kerajaan negeri, beberapa pelaksanaan telah dibuat antaranya, Rumah Selangorku dan projek rumah mampu milik ke arah menyelesaikan isu kediaman. Setiap orang berhak memiliki satu kediaman,” katanya.


Beliau juga berhasrat meningkatkan pelaburan industri sebagai  usaha meningkatkan hasil pendapatan dan membuka banyak peluang pekerjaan bagi warga Selayang.


Untuk ke arah itu katanya, beliau telah meminta kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengkaji semula pecahan kadar cukai mengikut kawasan bagi  menggalakkan aktiviti pelaburan berkembang ke Selayang.


“Kadar cukai dikenakan di Selayang tidak boleh sama dengan Klang, kerana pelabur perlu mengambil kira kos tambahan lain seperti aspek pengangkutan dan jarak serta lokasi.


“Jika kos cukai dikurangkan, ia mendorong pelabur untuk beroperasi di Selayang,” katanya.


Menurutnya, setakat ini sektor perkilangan di Selayang memberangsangkan termasuk operasi kilang pengeluar kari Baba’s.


“Kerancakan sektor industri dan komersial mampu meningkatkan hasil buat pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan kutipan cukai lebih tinggi bagi operasi komersil dan industri.


“Sumber kewangan ini dapat memperbanyakkan pembangunan dalam Selayang,” katanya.


Menurutnya, MPS kehilangan atau kekurangan hasil pendapatan melalui pengecualian cukai taksiran rumah kos rendah dan sederhana, serta fi lesen penjaja kecil dan sederhana di bawah program kerajaan negeri.


“Sedangkan pendapatan utama MPS adalah hasil tersebut, disebabkan kebanyakan tanah di Selayang adalah unit kediaman,” katanya.


Justeru menurutnya, dengan mengembangkan sektor industri berkenaan,  mampu mengembangkan hasil MPS tanpa bergantung penuh dengan cukai taksiran kediaman.


“Kawasan bandar seperti Petaling Jaya dan Shah Alam mampu pesat membangun disebabkan kerancakan sektor industri. Saya yakin perkara sama boleh dilaksanakan di Selayang,” katanya.


Menurutnya, salah satu potensi membangunkan MPS adalah melalui industri pelancongan.


“Antaranya, kolam air panas yang sangat popular di China dan Jepun. Selayang mempunyai produk kolam air panas yang boleh dikembangkan sebagai tarikan buat pelancong luar.


“Kawasan lain juga termasuk kawasan riadah dan kem motivasi termasuk Rimba Bukit Lagong, Eko Rimba Templer dan Kanching serta Tasik Biru Kundang.


“Kita juga ke arah menjadikan kawasan Batu Arang sebagai bandar warisan disebabkan nilai sejarahnya dan monumen hasil tinggalan daripada aktiviti perlombongan semasa zaman penjajahan British,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]