Seorang maut enjin pesawat meletup di udara

in Global by


PHILADELPHIA – AMERIKA SYARIKAT. Seorang maut manakala tujuh yang lain cedera apabila enjin sebuah pesawat penumpang Amerika Syarikat meletup di udara semalam.


Penerbangan Southwest Airlines 1380 terpaksa membuat pendaratan cemas di Philadelphia kira-kira jam 11.20 pagi waktu tempatan selepas tingkap, badan pesawat serta bahagian sayap mengalami kerosakan susulan insiden terbabit.


Ketika insiden, pesawat Boeing 737-700 itu dilaporkan dalam perjalanan menuju ke Dallas dari New york bersama 143 penumpang dan lima anak kapal.


Menurut saksi, seorang wanita nyaris ‘tersedut’ keluar melalui tingkap pesawat yang pecah akibat terkena serpihan enjin yang meletup, namun sempat diselamatkan beberapa penumpang lain.


Jabatan Bomba Philadelphia berkata, seorang penumpang dikejarkan ke hospital dalam keadaan kritikal namun kemudian disahkan meninggal dunia, manakala tujuh yang lain diberi rawatan di lokasi kejadian.


Ketua Pesuruhjaya Bomba Philadelphia, Adam Thiel berkata, anggota bomba menemui kebocoran di bahagian enjin pesawat itu yang turut menyebabkan kebakaran.


Pihak Southwest Airlines mengucapkan takziah kepada kesemua mangsa yang terlibat dalam insiden tersebut.


Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS kini membuka siasatan susulan kejadian.- BBC


Source: SH Global

[featured-video-plus]