Tauke ketum Kampung Melayu Subang ditangkap

in Edisi Selangor KL by


SUNGAI BULOH – Polis menyerbu sebuah rumah sewa di Kampung Melayu Subang Isnin lalu dan menahan dua lelaki yang menjalankan aktiviti pemprosesan air ketum.


Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden S Somu berkata, serbuan yang dilakukan pada jam 8 pagi itu menemukan 16 bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum seberat  5kilogram (kg) setiap satu.


Menurutnya, turut ditemui adalah lima bungkusan air ketum yang dijual dengan harga RM15 sebungkus kepada pembeli di Paya Jaras dan sekitarnya.


“Lelaki berusia 24 dan 35 tahun itu  menjalankan aktiviti tersebut sejak Jun lalu dan mendapatkan bekalan daun ketum daripada seorang individu dari Teluk Intan.


“Daun ketum tersebut dibeli sebanyak dua kali sebulan dengan berat 80kg setiap satu. Setiap 10kg daun ketum menghasilkan 40 bungkus air ketum,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang media diadakan di Balai Polis Kampung Baru Subang, semalam.


Katanya, hasil operasi berkenaan, polis merampas 80kg daun ketum dan 80 liter air bernilai RM4,800.


Katanya, kedua-dua lelaki berkenaan yang bekerja sebagai despatch dan pengganggur ditahan reman selama empat hari.


“Ujian urin mendapati kedua-dua suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.


“Kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum  empat tahun atau kedua-duanya,” katanya.


Dalam operasi berasingan katanya, pihaknya turut menahan tiga lelaki di dua lokasi berasingan atas kesalahan memiliki dadah jenis syabu dan heroin.


“Serbuan di sebuah rumah diduduki dua lelaki positif dadah di Kampung Melayu Subang menemukan sembilan paket lutsinar dadah jenis syabu seberat 5g dan satu botol plastik berisi air ketum.


“Sementara serbuan semalam (kelmarin) di Kampung Paya Jaras Hilir menahan seorang lelaki dipercayai pengedar jalanan kerana memiliki empat beg plastik lutsinar heroin seberat 8.28 gram,” katanya.


Jelasnya, antara Januari sehingga Mac sebanyak 24 kes dadah direkodkan melibatkan tangkapan seramai 37 orang.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]