Terpaksa berhenti kerja selepas kaki dipotong

in Edisi Johor by


BATU PAHAT – “Selepas saya jalani pembedahan dan dipotong kaki kanan, saya tak mampu bekerja macam dulu, hanya habiskan masa di rumah saja,” kata Borhan Abdullah, 55.


Borhan merupakan penerima faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), selepas kakinya terpaksa dipotong akibat jangkitan kuman.


Menurutnya, pada mulanya dia yang bekerja di bahagian stor sebuah syarikat jualan langsung mengalami kecederaan kecil di bahagian tapak kaki namun menganggap ia hanya luka kecil sahaja.


“Tetapi luka mula merebak ke bahagian lain dan selepas dapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat, saya disahkan menghidap jangkitan kuman yang agak serius.


“Kejadian Mei tahun lalu. Saya reda dengan keadaan ini,” katanya.


Dia ditemui ketika Perasmian Program Penye–rahan Bantuan Caruman Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri di pejabat Perkeso Cawangan Batu Pahat yang dihadiri Pengurusnya, Suhara Mustaffa dan Ketua Pengarah Jasa, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.


Borhan yang mempunyai tiga anak masih belajar hanya menggunakan wang pampasan Perkeso untuk membiayai perbelanjaan harian dan persekolahan anaknya.


Katanya, dua anaknya masih bersekolah berusia 16 dan 17 tahun, manakala anak sulungnya, Nurfarah Humaira, 19, terpaksa menangguhkan pengajian untuk semester kedua tahun ini di sebuah kolej di Negeri Sembilan untuk menjaganya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]