Wau gergasi Pas berdiri gah

in Edisi Terengganu by


MARANG – Seperti menyambut pesta, apabila Parlimen Marang di sini mula dipenuhi dengan pelbagai bendera dan replika parti khususnya Pas dan BN yang bakal bertanding pada PRU14.


Lihat sahaja sepanjang jalan raya, kaki lima, tiang lampu, pokok dan kawasan menjadi tumpuan ramai pasti penuh dengan bendera dua parti politik itu bertujuan meraih undi dan sokongan rakyat.


Tinjauan Sinar Harian di Dun Rhu Rendang iaitu kawasan kubu kuat Pas mendapati hasil kreativiti petugas parti itu memaparkan bendera termasuk yang bersaiz besar dengan cara unik dan tersendiri.


Lebih menarik tinjauan di Dun Bukit Payong apabila replika ‘wau gergasi’ Pas gah ‘berdiri’ dekat persimpangan tiga Kedai Buloh dan merupakan replika terbesar setakat ini di Parlimen Marang.


Kawasan tumpuan di Kedai Buloh dalam Dun Bukit Payong juga seolah-olah diserang ‘demam PRU14’ apabila ramai di kalangan peniaga mengibarkan bendera parti di premis perniagaan mereka.


Ketua Penerangan Pas Dun Bukit Payong, Hassan Mat Amin, 63, turut menyifatkan perang bendera dipamerkan pada musim kempen pilihan raya umum kali ini lebih meriah berbanding sebelumnya.


“Kita mengeluarkan perbelanjaan kira -kira RM4, 000 untuk membina replika wau gergasi itu dan memperuntukkan sebanyak RM45,000 bagi menyediakan bendera serta replika di Dun Bukit Payong.


“Perbelanjaan ini ditanggung sendiri oleh ahli dan kerja-kerja pemasangan pula dilakukan jentera Pemuda  tanpa mengambil kira upah dengan dibantu ahli lain secara bergotong royong” katanya.


Kemeriahan itu juga katanya, membuktikan bahawa sokongan rakyat terhadap Pas terus meningkat di Dun Bukit Payong apabila panji- panji Pas berkibar megah di setiap cawangan dalam kawasan itu.


Bagaimanapun, Setiausaha Umno Dun Bukit Payong, Razak Ismail berpendapat kuantiti bendera dipasang di sesuatu kawasan adalah lebih melambangkan tahap kesiapsiagaan parti.


“Kalau diambil kira banyaknya pemasangan bendera turut menggambarkan parti itu boleh menang, itu tidak logik.  


Kita pula menyediakan kira kira 60,000 bendera dan mula dipasang beberapa hari lagi,” katanya.

 


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]