Bendera Pas dibakar pihak tidak bertanggungjawab

in Edisi by


BENTONG – Dua bendera Pas yang sudah dipacak didapati terbakar manakala lima yang lain hilang berdekatan kawasan perumahan di Kampung Baru, Bentong


Exco Pemuda Pas Malaysia, Roslan Md Esa berkata, kejadian itu disedari petugas jentera pilihan raya Pas yang ketika itu melalui jalan terbabit.


Justeru, beliau mengesyaki ada yang tidak bertanggungjawab namun hanya menggelarnya sebagai ‘budak nakal’.


“Saya syak mungkin dilakukan oleh ‘budak nakal’ ataupun diupah oleh individu tertentu yang  cemburu kerana PRU14 kita akan bertanding di parlimen dan semua Dun di daerah ini.


“Kita kena dah dua kali.  Pertama, malam kelmarin dan yang kedua pada Isnin lalu. Saya mendapat laporan ada orang bawa bendera Pas dengan menaiki motosikal dan bila nampak jentera kita mereka terus cabut.


“Saya tidak mengesyaki ia dilakukan oleh parti lawan kerana perang bendera yang bermula beberapa minggu terakhir ini berjalan secara baik dan muhibah, apatah lagi kami saling mengenali antara satu sama lain, bahkan kami boleh makan dan minum semeja serta borak bersama,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sini, semalam.


Beliau turut mendakwa perkara tidak bermoral itu dilakukan pihak ketiga yang sengaja melakukannya untuk meraih keuntungan peribadi.


“Saya tak pasti angkara siapa, yang cuba menimbulkan provokasi untuk membangkitkan kemarahan antara Pas dengan parti lain,” katanya.


Walau bagaimanapun, katanya, pihaknya telah membuat laporan polis mengenai perkara ini yang tidak boleh dibiarkan begitu sahaja dan berharap agar tidak berulang lagi.


“Kita berharap agar perkara ini diambil maklum oleh semua parti politik dan diambil perhatian oleh rakyat. Dalam konteks PRU, saya rasa kita kena setuju bahawa kita merayu dan bukannya melakukan provokasi serta tidak profesional.


“Kita perlu perlu tinggalkan politik caci maki dan provokasi dan fokus dengan apa apa yang kita lakukan, tak sepatutnya bendera itu dibakar. Diharap mereka yang melakukannya tidak mengulangi kesilapan dan sedar apa yang mereka lakukan,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]