Bersatu Kelantan mahu tujuh Parlimen

in Politik by


KOTA BHARU – Bersatu Kelantan mempertaruhkan tujuh ‘nama besar’ yang akan bertanding mewakili parti itu di tujuh kerusi Parlimen di negeri ini, pada PRU14.


Pengerusi Perhubungan Bersatu negeri, Datuk Kamaruddin Mohd Noor berkata, kesemua calon berkenaan telah mendapat persetujuan dari Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad.


“Buat permulaan kita umum calon parlimen dahulu. Kita telah buat semakan daripada segi kelayakan bertanding dan mereka tidak ada apa-apa masalah.


“Mereka semua ini adalah pilihan pengundi tempatan selain pilihan parti. Sebab itu kita terpaksa ambil sedikit masa sebelum mengumumkan nama calon ini,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang media pengumuman calon parti itu di Kota Bharu, hari ini. Hadir sama salah seorang calon, Dr Mohd Radzi Mohd Jidin yang akan bertanding di Parlimen Ketereh.


Selain itu, turut dicalonkan adalah Datuk Nordin Salleh di Parlimen Tumpat, Mohd Zulkifli Zakaria (Bachok), Datuk Sazmi Miah (Machang), Azran Deraman (Jeli), Mohd Nor Hussin (Gua Musang) dan Kamaruddin sendiri di Pasir Puteh.


Beliau yang juga Ketua Penerangan Bersatu memberitahu, peruntukkan tujuh kerusi itu sudah memadai kerana ia merupakan separuh daripada jumlah sebenar kerusi Parlimen di Kelantan.


“Kalau menang semua, bererti itu sudah mencapai 50 peratus kuasai kerusi parlimen di Kelantan tapi apa yang pasti kita kerja keras untuk menyumbang seberapa banyak kepada Pakatan Harapan di seluruh negara,” katanya.


Mengenai calon yang bakal bertanding di Dun pula, Kamaruddin menjelaskan ia akan diumumkan selepas beliau mengadakan perbincangan bersama parti lain, dalam masa terdekat.   


“Kita cuma dapat 13 kerusi sahaja. Kita beri kepada Amanah kerana mereka mengetuai usaha menawan Kelantan dan mendapat lebih banyak kerusi di sini,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]