Bersatu pertaruh calon muda di Dun Tepuh

in Politik by


KUALA NERUS – Ketua Pemuda Bersatu Bahagian Kuala Nerus, Wan Hafizie Suzlie Wan Hassan menyifatkan pemilihan beliau selaku calon Pakatan Harapan (Harapan) Dun Tepuh bagi PRU14 ini tepat pada waktunya.


Menurut Wan Hafizie Suzlie, 36, peratusan pengundi muda yang melebihi 50 peratus di kawasan itu dilihat bakal memberi kelebihan kepada beliau yang lebih jelas dan dekat dengan kehendak golongan berkenaan.


“Saya akan menggunakan sepenuhnya peluang melalui pencalonan ini untuk memastikan suara-suara orang muda lebih didengari oleh pihak atasan.


“Kita ingin memastikan bahawa nasib orang-orang muda ini terus dibela sekali gus dapat meningkatkan taraf kehidupan mereka yang merupakan pewaris pemimpin pada masa akan datang,” katanya.


Bagaimanapun jelas ahli perniagaan itu lagi, keperluan dan kehendak golongan tua tetap diperjuangkan seiring dengan usaha untuk memastikan nasib rakyat semua peringkat terus dibela.


“Pengundi-pengundi kelompok usia yang lain kita tetap akan perjuangkan dan telah menjadi matlamat kita untuk memastikan pembangunan untuk rakyat dilakukan secara menyeluruh,” katanya.


Wan Hafizie Suzlie yang menetap di Kampung Banggol Binjai, Tepuh merupakan salah seorang calon Bersatu yang mewakili Harapan bakal bertanding di kerusi Dun Tepuh.


Pengumuman itu dibuat Pengerusi Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris di Pejabat Bersatu Terengganu, Ajil, Hulu Terengganu 15 April lalu.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]