Bukti wujud mekanisme penstabilan harga minyak

in Nasional by


SHAH ALAM – Pengekalan harga bahan api sepanjang tiga minggu berturut-turut bukti bahawa wujud mekanisme penstabilan.


Naib Ketua Pemuda Amanah, Shazni Munir Ithnin berkata, termasuk minggu ini telah tiga minggu berturut-turut harga bahan api kekal pada kadar RM2.20 (RON95), RM2.47 (RON97) dan RM2.18 (diesel).


“Situasi ini membuktikan bahawa wujud mekanisme bagi membolehkan harga bahan api stabil.


“Meskipun sebelum ini Kerajaan Persekutuan seakan-akan tidak menjumpai mekanisme ini hingga menyebabkan harganya turun dan naik dengan tidak menentu,” katanya dalam satu kenyataan.


Beliau yang juga Pengarah Mobilisasi Pemuda Harapan berkata, kerajaan sementara kini terpaksa menstabilkan harga bahan api bagi mengekang kemarahan awam terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.


“Keterpaksaan ini malangnya mengundang rasa khuatir kalau-kalau harga bahan api melambung tinggi sekiranya BN masih kekal sebagai Kerajaan Persekutuan selepas 9 Mei ini.


“Kebimbangan ini berasas jika melihat kembali kenaikan mendadak harga RON95 selepas BN menang PRU13 lalu,” ujarnya.


Menurutnya, selari dengan Manifesto Pakatan Harapan (Harapan) untuk menstabilkan harga minyak dan pelaksanaan subsidi bersasar, Harapan pastinya tidak mempunyai sebarang masalah untuk mengekalkan kestabilan harga bahan api yang sedang dinikmati ketika ini.


“Bahkan untuk kelompok yang layak, harga bahan api akan menjadi lebih murah apabila terlaksananya pemberian subsidi bersasar,” tegasnya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]