Dr Ahmad Samsuri calon pilihan Hadi di Rhu Rendang?

in Politik by


KUALA TERENGGANU – Ingin memberi laluan kepada muka baharu setelah tujuh penggal bergelar Adun Rhu Rendang, selain faktor kesihatan dilihat menjadi antara faktor utama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ingin melepaskan kerusi tradisinya itu.


Walaupun beliau hanya akan mempertahankan kerusi Parlimen Marang, namun Abdul Hadi sangat berhati-hati dalam memilih penggantinya, dan difahamkan calon pilihannya tidak lain dan tidak bukan iaitu Setiausaha Politiknya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.


Menurut sumber, Abdul Hadi menaruh keyakinan yang tinggi terhadap orang kanannya itu, apatah lagi pakar penerbangan yang juga bekas Ketua Jabatan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM) berkenaan dilihat calon selayaknya menggantikan Abdul Hadi di Rhu Rendang.


“Beliau sudah terlalu lama menjadi Adun di situ dan merasakan perlu ada perubahan. Ia juga sebagai peralihan kepimpinan Pas Terengganu dalam mempersiapkan pemimpin pelapis yang mampu menerajui Terengganu.


“Jika ada yang kata anaknya, Muhammad Khalil akan ambil alih (Dun Rhu Rendang), saya rasa tidak. Sebaliknya dia akan membuat penampilan sulung kali ini dengan bertanding di Dun Batu Burok. Apa pun, kita tunggu pengumuman malam ini,” katanya kepada Sinar Harian.


Difahamkan, kesemua wakil rakyat Pas yang menang pada PRU13 yang lalu akan kekal bertanding, kecuali bagi kerusi Dun Batu Burok dan Wakaf Mempelam.


Adun Batu Burok, Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan Adun Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut dikatakan akan mengundur diri bagi memberi laluan kepada anak muda, di samping faktor kesihatan bagi Abdul Wahid.


Yang Di Pertua Pas Kawasan Kuala Terengganu, Wan Sukairi Abdullah dijangka akan menggantikan Abdul Wahid.


“Tapi, kita kena ingat. Dalam politik, sehingga penamaan calon baharu boleh sahkan orang itu bertanding. Kadang-kadang selepas pengumuman calon, esok tu boleh berubah lagi. Tapi setakat ini, nama-nama ini yang dilihat calon terbaik untuk mewakili Pas pada PRU14 ini,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]