Dua kumpulan curi motosikal tumpas

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


MELAKA TENGAH  – Dua kumpulan curi motosikal yang dikenali sebagai Firdaus Bachang dan Ah Seng Paya Mengkuang tumpas dalam beberapa siri tangkapan sekitar daerah Alor Gajah dan daerah ini, minggu lalu.


Ketua Polis Negeri, Datuk Abd Jalil Hassan berkata, sepuluh suspek berusia lingkungan 19 hingga 30an itu ditahan pasukan Bahagian Risikan Jenayah (D4), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri sekali gus berjaya menyelesai 35 kes curi motosikal dan satu kes pecah rumah di negeri ini.


Menurutnya, geng Firdaus Bachang yang turut didalangi lapan lelaki dan seorang wanita itu berjaya dilumpuhkan selepas tertangkap ketuanya yang dikenali Firdaus berkaitan dengan kes kecurian motosikal di Bentong, Pahang.


“Kumpulan ini berjaya ditumpaskan selepas suspek utama ditangkap berikaitan kes jenayah di negeri itu bersama seorang lagi rakannya lebih kurang jam 4.45 petang pada 12 Mac lalu.


“Bagi kedua-dua geng itu polis turut merampas 14 buah motosikal, enam buah rangka motosikal, sebuah kereta dan sebuah televisyen jenama Panasonic menerusi tangkapan berasingan,” katanya.


Adul Jalil berkata demikian kepada pemberita ketika sidang media di IPK Melaka, Bukit Beruang, di sini, semalam.


Sementara itu, kumpulan Ah Seng Paya Mengkuang yang dianggotai dua suspek lelaki berusia 20an termasuk seorang ketuanya berusia 32 ditangkap sekitar Masjid Tanah dengan penemuan barangan curi di sebuah ladang khinzir sekitar Paya Mengkuang pada 29 Mac lalu.


“Dalam masa yang sama kita juga masih memburu empat lagi suspek bagi kedua-dua kes ini,” katanya.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]