Kekalkan Shafei di kerusi Parlimen Wangsa Maju

in Edisi Selangor KL by


KUALA LUMPUR – Gabungan NGO-NGO Berbaiah Malaysia menggesa pucuk pimpinan BN mengekalkan calon Umno, Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah bagi kerusi Parlimen Wangsa Maju itu pada PRU14.


Sekretariat Gabungan NGO-NGO Berbaiah Malaysia, Zulkifly Sharif, berkata, kerusi parlimen itu merupakan milik mutlak Umno bukannya kerusi tradisi MCA.


Menurutnya, kerusi itu hanya dipinjamkan kepada MCA pada PRU11 bukannya dipinjamkan kepada Umno.


“Berdasarkan fakta, pertama kali kerusi Parlimen Wangsa Maju dipertandingkan, kerusi ini diberikan kepada calon Umno iaitu Allahyarham Datuk Kamal Salleh kemudian diberikan kepada Tan Sri Zulhasnan Rafique, sehinggalah persempadanan semula dilakukan SPR.


“Ekoran itu, Zulhasnan dipindahkan ke kawasan baru, iaitu Parlimen Setiawangsa. Ketika itu Wangsa Maju dipinjamkan kepada MCA kerana terdapat kekosongan sehinggalah calon MCA kalah.


“Jadi kami menafikan kenyataan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai yang menyatakan kerusi Parlimen Wangsa Maju adalah kerusi tradisi MCA,”katanya pada sidang media, di sini, hari ini.


Sidang media berkenaan dihadiri wakil 12 NGO dan beberapa wakil penduduk sekitar Wangsa Maju.


Zulkifly, menambah, pihaknya tidak akan berkompromi dalam hal berkenaan dan mahu kerusi parlimen itu diberikan kepada Umno dan calon yang disukai rakyat.


“Mohd Shafei adalah calon paling layak. Beliau telah berkhidmat tanpa mengira keturunan, bangsa dan agama,”katanya.


Dalam masa sama, kumpulan NGO berkenaan turut menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan seluruh calon Umno yang bakal bertanding.

 


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]