Kerajaan negeri sambut baik

in Edisi by


SEGAMAT – Kerajaan negeri menyambut baik langkah Kementerian Kesihatan membina bangunan tambahan dan mengisytiharkan Hospital Segamat sebagai hospital pakar selaras dengan usaha kerajaan negeri menuju Dekad Baharu Johor.


Exco Kesihatan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, beliau yang juga anak kelahiran Segamat juga sentiasa memperjuangkan mutu perkhidmatan kesihatan di hospital ini agar rakyat dapat menikmati setiap manfaat yang ada selain secara peribadinya mahu melihat daerah ini maju seperti daerah-daerah yang lain.


“Sejak 2013 lagi saya telah kenal pasti hospital di negeri ini yang memerlukan penambahbaikan dan dinaik taraf dan seperti Hospital Segamat ini, kerajaan juga telah membeli tanah milik Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk dibina pejabat pengurusan dan kuarters kakitangan hospital.


“Semasa pembentangan RMK11, kerajaan negeri mohon RM400 juta untuk menaik taraf dan meningkatkan kemudahan Hospital Segamat dan pada 2016, kerajaan mengumumkan kelulusan RM90.5 juta dan saya anggap projek pada hari ini (semalam) adalah fasa yang pertama,” katanya pada sidang media Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Bangunan Tambahan dan Pengisytiharan Hospital Segamat Sebagai Hospital Pakar di Hospital Segamat, di sini, hari ini.


Majlis yang dirasmikan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min; Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Selahuddeen Abdul Aziz.


Menurutnya, secara umumnya, Hospital Segamat telah dinaik taraf menjadi hospital pakar sejak dahulu lagi, namun kebanyakan penduduk masih menganggap hospital ini hospital biasa yang tidak mempunyai kemudahan mencukupi.


“Bagaimanapun, tempoh kelulusan untuk projek ini mengambil sedikit masa kerana melibatkan isu-isu teknikal dan peruntukan yang besar daripada kerajaan dan akhirnya dalam tahun ini projek pembinaan telah dimulakan.


“Memang setiap permohonan mengambil masa dan ada juga permohonan yang tidak diluluskan  kerana ini adalah proses biasa. Jadi, saya minta penduduk daerah ini agar bersyukur dengan perkhidmatan dan kemudahan yang ada kerana kerajaan sentiasa menitikberatkan kehendak dan keperluan rakyat,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]