Lima sekeluarga tinggal sehelai sepinggang

in Edisi Terengganu by


DUNGUN – Selepas kematian suami, ibu tunggal, Nora Mohamad@Tahar, 43, bersama seorang anak menumpang teduh di rumah adik iparnya tetapi kini mereka hilang tempat berlindung apabila kediaman itu musnah dalam kebakaran di kampung Temiang, Seberang Pintasan, kelmarin.


Dalam kejadian kira-kira jam 12.00 tengah hari itu, rumah yang didiami lima sekeluarga terbakar secara tiba-tiba tanpa diketahui punca.


Ketika kejadian tiada sesiapa berada di rumah memandangkan semua keluar bekerja.


Nora berkata, dia menumpang di rumah adik iparnya, Zainun Muda, 46 selepas kematian suami sejak empat tahun lalu.


Menurutnya, buat masa sekarang dia tidak tahu untuk tinggal di mana dan perlu menumpang di rumah saudara-mara lain.


“Saya memang tidak ada rumah sendiri dan menumpang di rumah ini bersama anak, Nor Syahirah Abd Maulud, 21.


“Ketika kejadian kami bekerja sebagai pembantu kedai makan di Sura.


“Bila jadi macam ni memang saya sangat sedih kerana hilang tempat berlindung,” katanya.


Manakala, Zainun berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan rumahnya terbakar dan langsung tidak menyangka musibah seperti itu akan menimpa mereka sekeluarga.


“Kami tinggal lima beranak di dalam rumah ini termasuk kakak ipar dan anaknya.


“Saya hanya tahu tentang perkara ini selepas dihubungi abang dan bergegas pulang ke rumah.


“Saya bekerja sebagai tukang masak di sebuah kedai makan dan ketika sampai semuanya sudah musnah.


“Ketika itu api sudah dipadamkan bomba dan saya hanya mampu pandang sahaja,” katanya.


Tambahnya, tiada apa yang sempat diselamatkan dan mereka tinggal sehelai sepinggang.


“Memang tidak sempat nak selamatkan apa-apa kerana kami tiada di rumah.


“Dianggarkan kerugian dialami mencecah kira-kira RM100,000.


“Buat sementara waktu, kami akan menumpang rumah emak di sebelah rumah,” katanya.


Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Saifuddin Muhammad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.25 tengah hari dan bergegas ke lokasi.


“Seramai sembilan anggota dikejarkan ke lokasi dan ketika tiba rumah berkenaan marak terbakar.


“Kebakaran tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa dan api dapat dipadamkan sepenuhnya pada jam 1.20 petang,” katanya.


Bagi sesiapa yang ingin membantu keluarga ini boleh salurkan ke akaun 11004-11-00018694-7 BSN atas nama Nora Mohamad@Tahar atau 151098359741 Maybank atas nama Zainun Muda.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]