Pagar automatik boleh mengecam wajah di pintu masuk negara

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia bercadang memasang 120 pagar automatik terkini yang boleh mengecam wajah di semua pintu masuk seluruh negara bagi mempercepatkan proses pemeriksaan serta meningkatkan tahap kawalan keselamatan di sempadan.


Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali bagaimanapun berkata, pelaksanaan cadangan itu bagaimanapun bergantung kepada peruntukan dan kelulusan daripada kerajaan.


Katanya, pagar automatik ‘Next Generation Autogate’ itu memiliki spesifikasi pengecaman wajah dalam tempoh kurang lapan saat sejurus meletakkan pasport di tempat disediakan dan dapat mempercepatkan proses pemeriksaan berbanding sistem biometrik yang digunakan sebelum ini.


“Jika hendak dibandingkan, sistem biometrik memakan masa sekurang-kurangnya 10 minit bagi  mengesan pasport dan maklumat individu sebelum dibenarkan melepasi pintu masuk ke luar negara,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika melawat ruang pameran Kementerian Dalam Negeri di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (Natsec) Asia 2018 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.


Mustafar berkata, jika cadangan itu diluluskan ia akan dilaksanakan secara berperingkat bermula di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).


Acara di MITEC itu menghimpunkan kira-kira 1,500 syarikat berkaitan pertahanan dan 350 perwakilan dari 45 negara, antaranya Korea Selatan, China, Jepun, Australia, Pakistan, Rusia dan Indonesia.


Pameran empat hari bermula Isnin lalu itu menjadi platform bagi pengurusan pertahanan dan keselamatan di seluruh dunia untuk bertukar-tukar idea, sambil memberi peluang kepada peserta industri memasarkan produk mereka. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]