Projek dijangka siap 2021

in Edisi by


SEGAMAT – Kementerian Kesihatan meluluskan peruntukan RM90.5 juta untuk pembinaan bangunan tambahan Hospital Segamat yang akan dibangunkan di tapak hospital sedia ada berkeluasan 1.6 hektar.


Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, projek yang akan bermula bulan ini juga dijangka siap sepenuhnya pada 2021 dan akan menambah baik mutu perkhidmatan kesihatan di daerah ini selaras dengan pengisytiharan Hospital Segamat sebagai hospital pakar.


“Secara umumnya, bangunan tambahan yang akan dibina meliputi lima bays zon merah, 12 bays zon kuning, enam bilik zon hijau, empat asma bays, 12 katil bilik pemerhatian, Jabatan Kecemasan dan Trauma serta 18 katil unit rawatan rapi (ICU).


“Selain itu, kemudahan lain adalah seperti lapan katil Unit Berisiko Tinggi (HDU), empat bilik bedah, Unit Bekalan Steril (CCSD), Respiratory Haemodynamics dan kemudahan tempat letak kereta bagi kemudahan kakitangan dan orang ramai,” katanya.


Beliau berkata kepada pemberita semasa sidang media Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Bangunan Tambahan dan Pengisytiharan Hospital Segamat Sebagai Hospital Pakar di Hospital Segamat, di sini, hari ini.


Turut hadir, Exco Kesihatan negeri, Datuk Ayub Rahmat; Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min; Pegawai Daerah Segamat, Abdul Rahman Salleh dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Selahuddeen Abdul Aziz.


Menurutnya, sehingga kini, Hospital Segamat menawarkan 18 jenis kepakaran seperti kepakaran perubatan am, pembedahan, ortopedik dan pediatrik, patologi, psikiatri, pakar hidung, telinga dan tekak (ENT) manakala empat daripadanya iaitu nefrologi, neurologi, respiratori dan neurofisiologi adalah perkhidmatan kepakaran secara lawatan.


“Saya percaya dengan pengisytiharan Hospital Segamat sebagai hospital pakar dan pembinaan bangunan tambahan pada hari ini (semalam), para penduduk di daerah ini pasti akan lebih jelas dan menghargai usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan dalam meningkatkan taraf kesihatan rakyat.


“Sebelum wujudnya kepakaran-kepakaran ini, penduduk di daerah ini terpaksa pergi ke hospital di Muar dan Johor Bahru dan Hospital Segamat ini juga turut menampung jumlah pesakit yang bersempadan dengan daerah ini seperti dari Gemas, Negeri Sembilan dan Felda Keratong, Pahang,” katanya.


Pada masa sama, berdasarkan kepada prestasi pelaksanaan projek pembangunan bagi negeri Johor dalam Rolling Plan Ketiga di bawah RMK11, terdapat 25 projek kesihatan di negeri ini yang telah diluluskan dengan sebanyak lima projek telah disiapkan, sembilan projek dalam pelaksanaan dan 11 lagi akan dilaksanakan dengan kos sebanyak RM1.18 bilion.


Katanya, antara projek-projek yang telah disiapkan melalui RMK11 adalah bangunan tambahan bagi Dewan Bedah, Klinik Pakar, Wad Kelas Satu dan Dua Hospital Mersing, Kolej Jururawat Parit Raja di Batu Pahat, Klinik Kesihatan (KK) Yong Peng dan KK Sungai Rengit, Kota Tinggi.


“Bagi daerah ini pula, terdapat tiga projek yang bakal dilaksanakan iaitu KK Palong Timur, KK Segamat dan salah satunya adalah pembinaan bangunan tambahan Hospital Segamat ini yang bakal menyaksikan perkhidmatan berwajah baharu bagi Jabatan Kecemasan, Dewan Bedah, ICU dan Teknologi Maklumat.


“Poliklinik Kesihatan di Jalan Muar juga akan dinaik taraf dengan kos sebanyak RM40 juta dan ini akan memberi kemudahan kepada penduduk perkhidmatan kesihatan dalam suasana yang moden,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]