'Selama 40 minit terapung, saya cuba tenangkan mangsa'

in Edisi Utara by


GEORGETOWN- “Kalau ada keyakinan dan keupayaan, Insya-ALLAH, apa yang kita lakukan akan dipermudahkan.”


Itu antara kata azimat Zaidi Salleh yang merupakan digelar wira kerana sanggup mempertaruhkan nyawanya untuk menyelamatkan seorang wanita dalam kejadian di Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah atau Jambatan Kedua Pulau Pinang petang semalam.


Menceritakan detik-detik cemas itu, Zaidi yang berkhidmat selama empat tahun sebagai polis bantuan di jambatan itu berkata dirinya nekad untuk menyelamatkan wanita terbabit setelah yakin dengan keadaan pada ketika itu.


“Ketika kejadian saya bersama beberapa lagi rakan di lokasi kejadian, jadi melihatkan kepada keadaan laut pada masa tu, ditambah dengan peralatan yang ada, saya ambil keputusan untuk menyelamatkan wanita tersebut.


“Ketinggian masa tu saya anggarkan dalam 10 hingga 12 meter, dan jarak wanita tersebut memungkinkan saya untuk menyelamatkannya, jadi saya ambil keputusan untuk selamatkannya,” katanya.


Bekas anggota TUDM ini berkata, pengalamannya berkhidmat dalam TUDM selama 25 tahun dimanfaatkan sepenuhnya dalam misi menyelamat ini.


“Alhamdulillah, dengan latihan yang pernah saya jalani, dan kepakaran yang saya terima masa dalam TUDM dulu, saya tengok tempat pun mudah untuk saya bantu.


“Masa tu saya yakin saya dapat selamatkannya dengan kekuatan yang ada, tengok keadaan laut, yang penting bagi saya masa tu keadaan laut, sebab itu antara faktor penting yang mana membantu kita untuk menyelamat,” katanya.


Cabaran selamatkan mangsa


Menurutnya, sebaik sahaja mendapatkan wanita terbabit, pertama sekali adalah cuba menenangkannya.


“Saya cuba tenangkan dia, tapi saya tak banyak tanya dia, sebab tak nak bagi dia terlalu tertekan, yang penting dalam fikiran adalah untuk menyelamatkan dirinya.


“Saya dan mangsa terapung hampir 40 minit, saya cuba tahan dan kawal pernafasan sementara menunggu bantuan tiba,” katanya.


Tidak terlalu mendabik dada, katanya, apa yang dilakukannya ini adalah dasar bantu membantu sesama manusia.


“Apa yang penting, bagi saya adalah ada keyakinan dan kekuatan, yang tu paling penting, kalau tak yakin dan ditambah pula dengan keadaan boleh membahayakan diri, pasti akan kecundang,” katanya.


Menurutnya ini merupakan kejadian kedua di mana pernah berlaku kejadian sama seperti ini.


“Sebelum ini, kes macam ini, tapi kita tengok mangsa dah hanyut lebih 400 meter memang jauh dah.


“Lagi pula masa tu memang sukar, jadi kita terpaksa minta bantuan dan cuba cari alternatif lain untuk membantu,” katanya.


Terima penghargaan polis


Dalam pada itu, Zaidi bersama dua lagi anggota polis bantuan JKSB diraikan dalam satu majlis yang diadakan bertempat di Ibu Pejabat Polis Kontijen Pulau Pinang siang tadi.


Zaidi bersama dua lagi rakannya iaitu Mohd Fitri Abu Hasan dan Megat Taufik Megat Kamaruddin turut disampaikan surat penghargaan daripada polis atas keberanian mereka itu.

Zaidi menerima surat penghargaan daripada polis atas keberaniannya di IPK Pulau Pinang siang tadi. .


Sijil penghargaan itu disampaikan sendiri oleh Ketua Polis Pulau Pinang Datuk A Thaiveegan.


Terdahulu, seorang wanita terselamat apabila terjatuh di Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dalam kejadian kira-kira jam 11.13 pagi kelmarin.


Kejadian berlaku di Kilometer 9.9 jambatan kedua Pulau Pinang itu turut mendapat bantuan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Polis Marin.


Wanita berusia 28 tahun itu diselamatkan oleh anggota polis bantuan jambatan tersebut.


Mangsa kemudiannya dibawa ke jeti selepas berjaya diselamatkan.




 


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]