Sorok dadah RM3 juta dalam almari

in Edisi by


NILAI – Tindakan satu sindiket menyorok dadah bernilai RM3 juta di dalam almari tidak berhasil apabila dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada 8 April lalu.


Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Zulkifli Yahya berkata, dadah seberat 50kg itu ditemui hasil risikan pihaknya terhadap sebuah kereta Proton Wira yang dinaiki dua suspek lelaki.


“Kastam telah menjejaki kereta itu dari Pelabuhan Klang jam 3 petang, selepas didapati mengambil sebuah almari dari kontena yang baru tiba dari Karachi, Pakistan.


“Suspek yang merupakan warga Pakistan dan tempatan telah ditahan di tepi jalan untuk pemeriksaan lanjut dan hasilnya kita menjumpai 25 buah bungkusan plastik lutsinar yang mengandungi serbuk putih yang disorokkan di bahagian belakang almari kayu berkenaan,”katanya pada sidang media di Cawangan Narkotik, Ibu Pejabat JKDM di Kampung Jijan Tengah di sini, hari ini.


Menurutnya, siasatan lanjut mendapati, serbuk terbabit ialah dadah jenis ketamin dengan berat kasar 25kg dan dianggarkan bernilai  RM1.5 juta.


Beliau berkata, hasil soal siasat ke atas suspek, satu lagi serbuan di sebuah stor penyimpanan di Pelabuhan Klang, Selangor telah dilakukan dan sebuah lagi almari yang disorokkan dengan jumlah dan berat dadah sama telah ditemui.


Menurutnya, secara keseluruhan pihak kastam telah berjaya merampas 50 kilogram dadah dengan nilai RM3 juta.


“Manakala Selasa lalu, seorang lagi suspek lelaki warga tempatan telah ditahan di Klang, Selangor kerana disyaki terlibat dalam sindiket itu.


“Kesemua suspek berusia 27, 36 dan 42 tahun direman 14 hari bermula dari tarikh ditangkap untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dengan rotan tidak kurang daripada 15 sebatan “katanya.


Sementara itu beliau berkata, tahun ini sahaja sebanyak 1,400 kilogram dadah berjaya dirampas JKDM dengan kos keseluruhan RM37 juta.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]