Tarbiah awal elak 'cah keting'

in Politik by


KUALA TERENGGANU – Tarbiah dalaman sejak awal perlu dibudayakan dalam Umno dan BN bagi mengelak berlakunya cah keting atau mengikut bahasa mudah, mensabotaj atau menewaskan lawan dalam parti sendiri.


Bekas Adun Tepoh, Muhammad Ramli Nuh berkata, kaedah itu perlu diwujudkan dalam Umno dan BN bagi memastikan budaya cah keting tidak berlanjutan dan membarah dalam politik negara mutakhir ini.


“Tarbiah yang perlu diberikan bukan setakat kepada calon, bahkan kepada semua jentera parti dan pemimpin supaya mereka lebih ikhlas terlibat dan menyokong parti bukan sekadar inginkan kuasa atau mahu jadi calon serta mengejar kebendaan tanpa memikirkan soal dosa dan pahala.


“Jika adanya unsur-unsur demikian, maka berlakulah pengkhianatan kepada orang lain, sedangkan bukanlah orang yang dicalonkan itu khianat kepada individu terbabit kerana dia telah dipilih pucuk pimpinan parti untuk jadi calon,” katanya ketika siaran langsung facebook live Sinar Harian, semalam.


Muhammad Ramli berkata, jika di dalam parti lawan (Pas) boleh memperkasakan soal kesetiaan kepada parti walaupun tidak dicalonkan, mengapa tidak berlaku hal yang sama dalam BN.


“Diakui, dalam mana-mana parti politik pun berlaku cah keting, namun, dalam Umno dan BN dilihat lebih ketara. Mengapa tidak kita juga gunakan pendekatan seperti yang digunakan Pas yang mana lebih menonjol dengan Islamnya, apakah kita (Umno/BN) tidak Islam?


“Sekiranya kita masih tak faham tanggungjawab sebenar sebagai pemimpin sebaliknya hanya melihat kuasa sebagai saluran untuk mendekati ‘lubuk duit’ atau mengejar kebendaan, kita bukanlah seorang yang layak untuk memimpin,” katanya.


Muhammad Ramli ketika ditanya apakah penyelesaian bagi menyekat unsur (cah keting) itu, katanya selain melalui tarbiah sejak awal, perkara lain yang perlu diberi tumpuan ialah tidak meminggirkan individu yang tidak dicalonkan.


“Jangan biarkan orang yang tak dicalonkan terbiar. Tubuhkan sekretariat berjumpa individu terbabit, pegang mereka dan beritahu terang-terang. Dalam masa sama sediakan tempat yang boleh diisi individu terbabit dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), misalnya,” katanya.


Dalam pada itu, Muhammad Ramli turut menyarankan tempoh pengisytiharan calon seharusnya tidak singkat untuk mengelak memberi peluang kepada unsur-unsur cah keting.


“Misalnya, tindakan mengisytiharkan calon dua hari sebelum hari penamaan calon. Ia akan memberi tekanan terutama kepada calon baharu. Mereka tak sempat nak buat apa sebelum hadapi PRU sebenar yang hanya beberapa hari.


“Sebolehnya isytihar awal calon bagi memudahkan persiapan kempen,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]