Terpilihkah calon- calon Pas Parlimen Besut ini?

in Edisi Terengganu by


JERTIH – Pas akan mengumumkan kesemua calonnya yang bakal bertanding bagi kerusi Parlimen dan Dun seluruh negara termasuk Parlimen Besut malam ini.


Namun sementara menanti pengumuman itu, netizen khususnya pengundi masih tertanya-tanya siapa gerangan tercalon untuk bertanding di lima kerusi bagi Parlimen Besut.


Pelbagai spekulasi dan ramalan bertebaran mengenai siapakah yang akan dicalonkan bagi kerusi N33 Parlimen Besut, Dun Kuala Besut (N01), Kota Putera (N02), Jertih (N03) dan Hulu Besut (N04) itu.


Berdasarkan desas-desus daripada pelbagai sumber menyatakan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Riduan Mohd Nor sekali lagi diturunkan bertanding di kerusi Parlimen Besut.


Pada PRU13 lalu, beliau ketika itu belum memperoleh kelulusan doktor falsafah (PhD) telah bertanding kerusi Parlimen Besut menentang calon BN, Datuk Seri Idris Jusoh.


Bagaimanapun Riduan terpaksa akur dengan kemenangan Idris yang memperoleh undi 35,232 berbanding beliau sebanyak 26,890 dengan majoriti 8,342 undi di kerusi yang sebelum itu disandang Tan Sri Dr Abdullah Md Zin.


Napisah, Azbi disebut-sebut calon Dun Kuala Besut


Bagaimana pula dengan Dun Kuala Besut, gerangan siapakah yang akan dipilih Pas untuk berdepan dengan calon BN dan Pakatan Harapan (Harapan) di kawasan kubu kuat BN Parlimen Besut itu?


Kalau masuk kedai kopi, sering diutarakan beberapa nama yang berkemungkinan akan dipilih bertanding di Kuala Besut.


Antara nama sering disebut termasuklah calon Pas Dun Kuala Besut PRU13, Napisah Ismail atau dikenali sebagai Kak Sah, Pengerusi Majlis Tindakan Dun (MTD) Pas Kuala Besut, Azbi Salleh malah ada yang menamakan bekas Adun Kuala Besut tahun 1999 hingga 2004 yang juga Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Nik Mohamad Zawawi Salleh.


Bagaimanapun analisa Sinar Harian mendapati Azbi yang merupakan ahli perniagaan berasal dari Kampung Nangka, Kuala Besut dan menetap di Kampung Tok Has kemungkinan besar yang akan terpilih apatah lagi apabila ada dakwaan mengatakan Nik Mohamad Zawawi akan bertanding kerusi Parlimen Pasir Puteh, Kelantan.


Beberapa faktor diambil kira yang memungkinkan andaian tersebut lebih menjurus kepada Azbi.


Di Dun Kota Putera siapa pula? Adakah pendakwah, Adam Mat Said yang juga merupakan calon Pas PRU13 yang bertanding menentang Mohd Mahdi Musa dari BN di Dun berkenaan akan dipilih sekali lagi.


Dalam PRU13, Mohd Mahdi memperoleh undi 9,084 mengatasi Adam dengan undi majoriti 7,672.

Wan Azhar (kiri), Nur Khuzaini.


Tetapi sumber Pas memberitahu,  Adam menolak untuk dicalonkan bertanding kerana beliau ingin memberi tumpuan kepada sekolah agama, Pusat Tarbiyah Nurul Iman di Gong Bayor, kerja-kerja dakwah di samping urusan membawa jemaah menunaikan umrah.


Sehubungan itu nama baharu, Nur Khuzaini Abd Rahman yang berasal dari Kampung Raja disebut-sebut bakal dipilih sebagai calon.


Beliau juga dikatakan sering dilihat  dalam program–program ceramah di Dun tersebut .


Wan Azhar bertanding di Dun Jertih?


Di Dun Jertih, Yang Dipertua Pas Kawasan Besut, Wan Azhar Wan Ahmad dikatakan satu-satunya calon yang disebut mewakili Dun itu.


Wan Azhar yang pernah tewas kepada Datuk Muhammad Pehimi Yusof dalam PRU13 di Dun Jertih kini dikatakan  menguatkan jentera Pas untuk menentang semua parti bertanding.


Apa ceritanya pula dengan Kuala Besut, adakah Timbalan Pas Kawasan Besut, Solah@Shalahuddin Jaafar akan disenarai lagi sebagai calon?


Beliau yang merupakan Pengerusi Majlis Tindakan Dun (MTD) Hulu Besut ditewaskan oleh Nawi Mohammad (BN) dalam PRU13 bertanding kerusi nombor dua terkuat BN di Parlimen Besut selepas Kuala Besut dalam pilihan raya umum lepas.


Sekiranya beliau tidak tercalon, dua nama lagi disebut-sebut menjadi pilihan pucuk pimpinan parti Pas sebagai calon  mewakili Hulu Besut iaitu Bendahari MTD Pas Hulu Besut, Ya Hassan atau lebih dikenali Ya Beras  dan AJK Pas Kawasan Besut yang juga mudir Pondok  Ubuddiyah, Pasir Akar, Hulu Besut, Mat Daik Mohamad.


Bagaimanapun, hasil tinjauan mendapati Mat Daik berkemungkinan besar terpilih sebagai calon Dun Hulu Besut yang akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru iaitu Pas, Pakatan Harapan dan BN.


Apa yang pasti, senarai nama calon sebenar akan diumumkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang dalam Majlis Pengisytiharan Calon Pas Terengganu PRU14 di Dewan Tok Guru, Rusila, Marang jam 9 malam ini.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]