350 peneroka terima geran

in Edisi Johor by


MERSING – Seramai 350 peneroka dari Felda Tenggaroh 05 menerima geran hak milik tanah selepas lebih 30 tahun menanti.


Ketua Peneroka Felda Tenggaroh 05, Adabi Arip berkata, penantian 32 tahun oleh generasi pertama itu akhirnya terbayar.


“Kita menunggu selama 32 tahun. Kita masuk ke tanah rancangan 1985.


“Kita sangat terharu dan berbangga atas penyerahan ini. Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana menyerahkan hak milik kepada kami semua,” katanya.


Beliau ditemui selepas Majlis Penyampaian Hak Milik Tenggaroh 05 dan Notis 5A Tenggaroh 02 di Dewan Serbaguna Tenggaroh 05, Rabu lalu.


Dalam majlis sama, seramai 435 peneroka daripada Felda Tenggaroh 02 menerima Notis 5A.


Majlis disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.


Menurut Mohamed Khaled, kerajaan negeri telah menyerahkan hak milik tanah dan Notis 5A kepada 2,925 peneroka Felda.


“Kita telah sempurnakan hak milik tanah dan Notis 5A kepada 2,925 peneroka daripada 3,296 seluruh peneroka.Bakinya sekitar 371 orang peneroka lagi akan diselesaikan selepas PRU nanti,” katanya ketika merasmikan majlis itu.


Dalam majlis itu juga, beliau meluluskan peruntukan sebanyak RM300,000 bagi menaik taraf dewan serba guna dan masjid Felda Tenggaroh 05.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]