Abdul Puhat ada tugas baharu?

in Uncategorized by


IPOH – Teka-teka mengenai kedudukan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan sebagai calon pada PRU14 ini hampir terjawab apabila beliau akan menamatkan perkhidmatannya pada Isnin depan.


Malah Menteri Besar yang juga Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir turut memaklumkan bahawa Abdul Puhat bakal mendapat ‘tugas baharu’ selepas ini.


“Datuk Seri Abdul Puhat bersama dengan kita dari 2011 selama tujuh tahun dengan kita dan masih lagi bersama kita dan kemudian beliau akan pergi ke ‘dunia baru’ barangkali. Saya tak boleh nak umum. Kita doakan perjalanan Datuk Seri akan berjaya dalam setiap bidang yang diceburi.


“Walaupun beliau tidak ada dalam lingkungan kita, beliau tetap berada di negeri Perak. Kita doakan, mungkin juga beliau berada di peringkat pusat sama ada memberikan perkhidmatan di peringkat pusat sekaligus memberi perkhidmatan di negeri Perak,” katanya kelmarin.


Beliau berkata demikian sempena Majlis Penghargaan YB Setiausaha Kerajaan Negeri di Hotel Casuarina@Meru, di sini.


Zambry berkata, kehilangan Abdul Puhat pastinya dirasai oleh seluruh anggota perkhidmatan awam di Perak kerana karektor yang disenangi oleh semua.


Katanya, Abdul Puhat merupakan antara Setiausaha Kerajaan Negeri paling cemerlang di Perak.


“Kita akan kehilangan seorang ketua dan pentadbir negeri yang begitu cekap sekali. penyelesai masalah dalam negeri Perak, sentiasa cekap dengan tugas dilaksanakan,” katanya.


Abdul Puhat memulakan tugas perkhidmatan awam pada tahun 1957 dan pernah menjawat beberapa jawatan di Perak termasuklah Pengarah Majlis Sukan Negeri selama tujuh tahun.


Sebelum menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri, Abdul Puhat merupakan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) selama tiga tahun.


Abdul Puhat sebelum ini disebut-sebut sebagai calon BN bagi kerusi Parlimen Parit Buntar yang kini disandang Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dari Amanah.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]