Anifah Aman akan terus dahulukan hak Sabah

in Edisi Sabah Sarawak by


KIMANIS – Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman akan terus mendahulukan hak dan kepentingan Sabah dalam perjuangan politiknya jika dicalonkan semula sebagai anggota Parlimen pada Pilihan Raya Umum  ke-14 (PRU-14), 9 Mei ini.


Beliau yang menyandang kerusi Parlimen Kimanis selama tiga penggal itu berkata beliau akan memperjuangkan jaminan hak kepada wilayah Borneo itu sebagaimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta melindungi Sabah daripada tuntutan negara luar.


Beliau berkata sebagai wakil rakyat, tugasnya tidak mengenal masa dan tempat malah bukan sahaja sewaktu musim pilihan raya tetapi sepanjang masa.


“Saya akan terus bekerja walau sekarang saya penyandang kerusi Parlimen Kimanis, bukan waktu PRU sahaja, tapi ia (kerja) berterusan. Sebab itulah falsafah saya ialah (apabila) di dalam negara, saya akan mendahulukan Sabah dan di luar negara pula, saya akan dahulukan negara kita Malaysia,” katanya.


Beliau berkata demikian pemberita selepas merasmikan Karnival Mini Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT4U), di sini hari ini.


Anifah berkata untuk memastikan hak dan kepentingan Sabah terus terpelihara, rakyat harus bijak memilih parti yang boleh menunaikannya seperti kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah terbukti melaksanakan segala janjinya.


Menurutnya, wakil rakyat dari Sabah yang dipilih pada PRU14 tidak harus berharap kepada wakil rakyat dari negeri lain untuk memperjuangkan hak dan kepentingan  negeri ini, sebaliknya mengambil langkah aktif dalam memperjuangkan hak Sabah.


Bagaimanapun, katanya, rakyat Sabah perlu berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memperakui ada unsur-unsur asas dalam tuntutan negeri itu dalam MA63.


Sama ada dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi itu atau sebaliknya, Anifah berkata beliau akan terus bekerja bagi memastikan kemenangan BN pada PRU14 ini. – Bernama


Source: SH Edisi Sabah Sarawak

[featured-video-plus]