'Beri saya peluang'

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


GEMAS – “Saya ingin bercampur dengan orang sihat tapi saya tidak tahu caranya apabila mereka (masyarakat) masih berfikiran buruk terhadap individu seperti saya,” luah bekas banduan yang hanya ingin dikenali sebagai Rizal.


Dia berkata demikian ketika ditemui pada Program Temuseru di Dewan Semai Bakti Felda Jelai 3 di sini, semalam.


Rizal, 29, berkata, dia sememangnya nekad untuk berubah dan mahu memulakan kehidupan baharu yang jauh lebih baik serta meninggalkan kehidupan buruknya lebih-lebih lagi dia baru berkahwin kira-kira sebulan lalu.


Dia yang berasal dari Tampin mengakui, pernah terdetik di hati untuk berkongsi kisah hidupnya dengan ‘orang sihat’ sebagai pengajaran untuk tidak sesekali terlibat dalam aktiviti menyalahi undang-undang terutama penyalahgunaan dadah.


“Mereka masih memandang serong terhadap saya dan bimbang jika ada anak-anak mereka rapat dengan saya.  Malah, jika ada sebarang kes di kampung, mereka begitu cepat menuding jari ke arah bekas banduan seperti saya ini.

Abd Razak menyempurnakan simbolik perasmian program, semalam.


“Bagaimanapun, saya anggap semua ini balasan, lebih-lebih lagi semasa waktu kecil saya kerap melakukan pecah rumah, namun mereka (masyarakat) tidak syak pada saya dan menuduh bekas banduan melakukannya.


Rizal berkata, dia amat berharap agar masyarakat tidak terlalu cepat membuat tuduhan kepada bekas banduan melainkan sekiranya mereka benar-benar menyaksikan sendiri kesalahan berkenaan berlaku di depan mata.


“Ada bekas banduan yang benar-benar bekerja bagi mengubah hidup mereka dan mencari rezeki yang halal buat keluarga tersayang.  


“Namun, itu semua memerlukan sokongan daripada masyarakat itu sendiri,” katanya.


Jadi ‘pusher’ tampung keperluan


Rizal yang pernah bergelumang dengan penyalahgunaan dadah bermula dengan ganja, sejak berusia 14 tahun.


Akuinya, dia benar-benar bertuah apabila ditangkap buat kali kedua dan dipenjara selama lima tahun 10 bulan kerana kesalahan memiliki dadah jenis heroin seberat 0.298g di Alor Gajah (Melaka) pada 2014.


“Masa tu, saya perlu jual dadah untuk tampung keperluan saya sendiri terhadap dadah. Dalam sehari, saya boleh dapat duit hasil jualan kira-kira RM1,000 tapi duit itu tak ke mana, habis begitu sahaja.


“Kini, gaji harian saya hanyalah RM50, namun disebabkan berkatnya duit itu, dapat saya gunakan untuk membeli makanan serta disimpan sedikit untuk keperluan keluarga,” luahnya.


Rizal berkata, apa yang dilaluinya selama tiga tahun empat bulan di dalam penjara benar-benar menginsafkannya dan dia lebih dekat dengan ALLAH.


Menurutnya, dia mendapat peluang menjalani hukuman parol di Kem Syed Sirajuddin, Gemas selama lapan bulan 20 hari.


“Kehidupan di penjara dan sistem parol benar-benar mengubah kehidupan saya kini,” katanya.


Bagaimanapun, saya rayu pada masyarakat agar memberikan saya dan rakan-rakan peluang untuk kembali ke pangkuan masyarakat.


Kikis rasa curiga, prasangka buruk


Sementara itu, Pengarah Penjara Negeri Sembilan, Penolong Kanan Komisioner Penjara, Hafidz Othman menyeru masyarakat mengikis rasa curiga dan prasangka buruk terhadap Orang Di Parol (ODP) dan bekas penghuni.


“Berilah mereka peluang kedua untuk memulakan kehidupan baharu.


“Penerimaan dan sokongan masyarakat dan ahli keluarga adalah faktor utama dalam usaha meneruskan program pemulihan ke atas ODP.


“Selain itu, kami sangat berharap agar majikan, pemilik peniagaan, perladangan dan pertanian supaya beri peluang pekerjaan kepada ODP memandangkan penerimaan masyarakat adalah sangat penting dalam menjayakan sistem pemulihan ini,” katanya.

Antara tetamu kehormat dan jemputan yang hadir sempena Program Temuseru di Dewan Semai Bakti Felda Jelai 3, semalam.


Jelasnya, terdapat tiga daerah yang melaksanakan sistem parol dan perkhidmatan komuniti iaitu daerah Seremban, Tampin dan Jempol.


“Melalui sistem parol ini, penghuni penjara yang layak dan memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pihak Lembaga Parol akan diberi peluang untuk menjalani baki hukuman di luar tembok penjara di bawah pengawasan dan seliaan Pegawai Parol.


“ODP ini dibenarkan tinggal bersama keluarga dan menjalankan aktiviti dan kerja yang bersesuaian,” katanya.


Turut hadir, Adun Gemas, Datuk Abd Razak Ab Said; Timbalan Pengarah Parol dan Perkhidmatan Komuniti, Penolong Kanan Komisioner Penjara, M Zainuddin Ibrahim serta Pengerusi JKKK Felda Jelai 3, Md Amin Mohd Riffa.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]