Cabaran eksport minyak sawit Malaysia ke Eropah

in Bisnes by


MALAYSIA hari ini menyumbang sejumlah 30% pengeluaran minyak sawit dan 34% eksport minyak sawit dunia.


“Sebagai salah satu daripada pengeksport terbesar minyak sawit dunia, Malaysia memain peranan yang penting dalam memenuhi permintaan minyak dan lelemak dunia,” kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong.


Tanaman sawit merupakan tanaman paling efisient yang menghasilkan minyak sayuran secara mampan. Ia juga mengeluarkan hasil yang berlipat ganda di atas keluasan tanah yang sama berbanding tanaman biji sesawi dan bunga matahari, di samping penggunaan baja dan racun serangga perosak yang sangat minimal.


Secara tidak langsung, tanaman sawit ini membantu memulihara alam sekitar. Malaysia juga komited dalam pemeliharaan hutan dan telah berikrar di Sidang Kemuncak Rio pada tahun 1992, akan memelihara 50% keluasan tanah negara sebagai kawasan hutan.


Menurut Datuk Seri Mah Siew Keong, industri sawit Malaysia memberi sokongan kepada 650,000 pekebun kecil serta menampung kehidupan berjuta-juta penduduk Malaysia dan dunia. Industri ini juga turut menyumbang kepada ekonomi Malaysia dan dunia.


“Hasil export minyak sawit dan produk sawit menjangkau RM 77.85 billion pada tahun 2017. Di Kesatuan Eropah pula, industri sawit menyediakan 93,000 peluang pekerjaan, disamping  menyumbang EUR 6.4 billion (RM 30.84 billion) kepada keluaran dalam negara kasar dan EUR 1.2 billion (RM5.78billion) hasil cukai kepada kerajaan Kesatuan Eropah,” tambah beliau.


Pada tahun 2017, Parlimen Kesatuan Eropah telah meluluskan satu “Resolusi ke atas Penyahhutanan dan Minyak Sawit,” di bawah Arahan Tenaga Diperbaharui (Renewable Energy Directive – RED).


Resolusi ini berhasrat untuk menyekat eksport minyak sawit ke Eropah untuk digunakan sebagai bahan bakar bio, menjelang tahun 2021. Menurut Kesatuan Eropah, penanaman sawit menyumbang kepada penyahhutanan dan juga perubahan cuaca.


Terang-terangan ini adalah tohmahan serta diskriminasi terhadap minyak sawit. Malaysia masih mempunyai lebih dari 55% kawasan hutan, manakala purata keluasan hutan di negara-negara Kesatuan Eropah pula hanyalah 33%.


Resolusi ini juga secara langsung menyekat minyak sawit dari memasuki pasaran Eropah, dan telah melanggar peraturan Pertubuhan Pedagangan Sedunia (WTO). Mengulas tentang sekatan terebut, Datuk Seri Mah bekata, “ianya akan memberi kesan yang negatif ke atas harga minyak sawit mentah dan secara tidak langsung, menjejaskan mata pencarian 650,000 pekebun-pekebun kecil yang sememangnya bergantung hidup dengan tanaman sawit.”


Kerajaan Malaysia amat prihatin atas dilema yang dihadapi oleh para pekebun kecil kita. Di awal tahun ini, sekumpulan pekebun-pekebun kecil yang mewakili FELDA, Persatuan Kebangsaan Pekebun-pekebun Kecil Malaysia dan Persatuan Penanam-penanam Sawit Dayak telah mengadakan tunjuk perasaan di Kuala Lumpur, membantah larangan eksport minyak sawit ke Eropah.


Mereka juga telah menghantar petisyen yang ditandatangani oleh lebih 300,000 pekebun-pekebun kecil dari seluruh negara kepada Duta Kesatuan Eropah ke Malaysia, membantah larangan tersebut.


Ternyata, suara mereka mendapat perhatian beberapa kerajaan Eropah. Wakil-wakil kerajaan dari Kesatuan Eropah, UK dan Belanda telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong untuk menyatakan sokongan mereka kepada Malaysia dan industri minyak sawit Malaysia.


Sehubungan dengan itu, Datuk Seri Mah Siew Keong juga telah mengetuai Misi Rundingan Sawit Malaysia ke Eropah untuk berjumpa dan berbincang dengan wakil-wakil kerajaan negara-negara utama Kesatuan Eropah.


Hasilnya, Malaysia berjaya mendapat sokongan dari kerajaan Sepanyol, Perancis, Sweden, United Kingdom dan Belanda untuk menentang segala bentuk diskriminasi ke atas minyak sawit.


Sementara itu, di bawah Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC), Malaysia juga bekerja rapat dengan Indonesia untuk mengatasi cabaran-cabaran ini dengan lebih berkesan.


Bercakap di Persidangan Antarabangsa Minyak Sawit di Kuala Lumpur baru-baru ini, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, “Malaysia dan Indonesia akan terus bersuara untuk menangani persepsi negatif ke atas minyak sawit.” Beliau percaya bahawa kemenangan akan berada di pihak yang benar.


Menurut beliau lagi, Thailand, selaku pengeluar minyak sawit ketiga terbesar dunia telah bersetuju untuk bekerjasama dengan Malaysia dan Indonesia untuk menolak keputusan Parlimen Kesatuan Eropah yang melarang import ke atas minyak sawit sebagai bahan bakar bio menjelang 2021.


Suara kolektif dari tiga negara pengeluar utama minyak sawit dunia ini telah menimbulkan kesedaran di kalangan anggota Kesatuan Eropah bahawa tindakan mereka bukan sahaja satu diskriminasi tetapi juga mengancam kehidupan dan ekonomi berjuta-juta pekebun kecil sawit di ketiga-tiga negara.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]