Chelsea hidupkan peluang ke Liga Juara-Juara

in Sukan by


CHELSEA menghidupkan peluang mereka untuk menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam kelompok empat pasukan terbaik apabila berjaya menewaskan Burnley 2-1 di Turf Moor, awal pagi tadi.


Kemenangan itu meletakkan Chelsea kembali berpeluang mengejar Tottenham Hotspur untuk tempat ke Liga Juara-Juara musim depan ketika mereka merapatkan jurang kepada lima mata berbanding pencabar dari London itu berbaki empat perlawanan.


Pengendali The Blues, Antonio Conte berkata, pasukannya perlu mengutip mata maksimum sambil mengharapkan kekalahan menimpa skuad kendalian Mauricio Pochettino.


“Tugas sukar menanti kami sebab kami ketinggalan lima mata dengan Tottenham dan sebelum ini kami melepaskan peluang terbaik untuk merapatkan kedudukan dengan mereka.


“Sekarang kami perlu mendapatkan tiga mata untuk setiap perlawanan hingga aksi terakhir liga di mana kami akan menentang pasukan yang mahu mengelak daripada memasuki ke dalam zon penyingkiran.


“Bagaimanapun kami akan berusaha dan hari ini saya lihat pemain menunjukkan semangat juang yang tinggi,” katanya.


Mengulas perlawanan menentang Burnley, Conte berkata : “Bukan mudah untuk kami menentang Burnley sebab jika anda memberi ruang kepada mereka itu bermakna anda dalam bahaya.


“Penyerang kami, (Oliver) Giroud dan (Alvaro) Morata bermain dengan baik dan mereka memiliki kombinasi yang baik. Ini memberi pilihan kepada saya untuk aksi seterusnya,” tambahnya lagi.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]