ECRL bakal rancakkan sektor perikanan Pantai Timur

in Nasional by


SHAH ALAM – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyokong penuh segala pembangunan prasarana negara yang dapat memajukan sosioekonomi rakyat di negeri Kelantan khususnya melibatkan sektor perikanan negara.


Pengerusi LKIM, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, antaranya termasuklah Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dilihat sebagai satu projek pembangunan terbaik yang dibangunkan kerajaan bagi merancakkan lagi pembangunan ekonomi di Pantai Timur Malaysia.


Katanya, sektor perikanan dilihat turut mendapat manfaat hasil projek pembangunan prasarana berkenaan khususnya dalam mengurangkan kos logistik stok perikanan.


“Dengan adanya tren penumpang dan kargo ECRL, ikan yang didaratkan di Kompleks Pendaratan Ikan LKIM seperti di Tok Bali dapat dipasarkan terus ke Lembah Klang dan dapat menjimatkan masa penghantaran serta kos tambang barangan.


“LKIM sentiasa menyokong penuh hasrat kerajaan dalam meningkatkan kemudahan awam bagi memudahkan rakyat yang menghubungkan ibu negara dan negeri-negeri di Pantai Timur apatah lagi ianya sekaligus bakal memberikan tambah nilai kepada ekonomi Pantai Timur.


“Kemampuan dan potensi Pelabuhan Perikanan LKIM Tok Bali dapat dipertingkatkan sepenuhnya sebagai hab serantau selaras dengan pembangunan ECRL tersebut,” katanya menerusi kenyataan media.


Menurutnya, LKIM juga telah merangka persediaan bagi memastikan Pelabuhan Perikanan LKIM Tok Bali akan menjadi pusat pengumpulan dan pendaratan ikan terbesar Pantai Timur apabila projek ECRL siap sepenuhnya.


Irmohizam berkata, jajaran projek laluan rel berkenaan dilhat bakal menjadikan Tok Bali sebagai ‘exit point’ yang akan mengembangkan lagi industri perikanan Pantai Timur.


“LKIM percaya permintaan ikan dari Pantai Timur dapat dipasarkan terus ke Lembah Klang dan seterusnya ke selatan dan pantai barat pada harga yang berpatutan serta dijamin kesegaran kerana masa serta tempoh penghantaran dapat disingkatkan.


“Untuk rekod, Kelantan merupakan negeri yang mempunyai bilangan vesel laut dalam tertinggi berbanding dengan negeri-negeri lain. Daripada 1,253 buah vesel laut dalam di Malaysia, sebanyak 28 peratus atau 347 buah vesel adalah dari Kelantan.


“Manakala sebanyak 148, 938 tan metrik iaitu 40 peratus daripada 381, 260 tan metrik pendaratan ikan laut dalam Malaysia adalah disumbangkan dari Kelantan, dan sebahagian besarnya untuk pasaran di bandar-bandar besar termasuk Kuala Lumpur,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]