Generasi kedua Felda disaran kembali ke pangkal jalan

in Nasional by


SLIM RIVER – Sebahagian kecil generasi kedua Felda yang ‘termakan’ dengan hasutan pembangkang dinasihatkan untuk ‘kembali ke pangkal jalan’.


Timbalan Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Sulong Jamil Mohd Shariff berkata, anak-anak peneroka, khususnya yang kini sudah mengapai kejayaan dalam pelbagai bidang harus mengenang kembali jasa-jasa kerajaan yang telah membantu menaik taraf kehidupan keluarga mereka selama ini.


Beliau berkata, inisiatif kerajaan mewujudkan Felda ini adalah bertujuan untuk membantu rakyat meningkatkan ekonomi peneroka khususnya yang tinggal di pinggir-pinggir desa.


“Saya dahulu, tinggal di kampung, menoreh di kebun milik orang. Dan jika saya tidak ikut ayah saya ke rancangan tanah Felda, mungkin saya tidak bersekolah ataupun tidak berjaya seperti sekarang.


“Mereka ini, apabila sudah berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, dan kini sudah berjaya, tiba-tiba, serang kita balik. Ianya bukanlah sesuatu yang baik,” katanya.


Sulong Jamil yang juga Ketua Peneroka Felda Wilayah Trolak berkata,  pihaknya yakin dengan  kebanyakan penduduk Felda  di sini masih lagi berdiri teguh menyokong kerajaan pimpinan BN  yang telah banyak menabur jasa kepada mereka.


Katanya, di atas keprihatinan kerajaan juga, kebanyakan penduduk Felda kini sudah memiliki rumah yang jauh lebih selesa malah ada antara mereka yang kini mempunyai lebih daripada sebuah kereta.


“Pemberian yang kita dapat ini kita ingat dan kita akan membalas budi kepada kerajaan yang sedia ada,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]