Harapan sasar lebih 5,000 orang

in Politik by


KUALA PILAH – Pakatan Harapan (Harapan) Negeri Sembilan menyasarkan seramai 5,000 hingga 10,000 kehadiran sempena Jelajah Felda Selamatkan Malaysia di Pekan Air Mawang Johol pada 21 April ini.


Pengerusi Harapan Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar berkata, jelajah bermula jam 8.30 malam itu, dijangka dihadiri Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Saifudin Nasation serta Setiausaha Agung Keadilan, Datuk Saifuddin Nasution selaku penceramah.


Menurutnya, memilih lokasi Pekan Air Mawang sempena jelajah Felda berikutan lokasi itu strategik dan lebih memudahkan orang ramai hadir pada hari tersebut.


“Lokasi tersebut menghubungkan beberapa kawasan berhampiran seperti Felda Palong, Gemencheh, Pasir Besar, Felda Bukit Rokan, Rembau dan mungkin orang Melaka boleh turut hadir untuk bertemu dengan pemimpin berjiwa rakyat seperti Tun Dr Mahathir.


“Malah kedudukan itu lebih terbuka dan berada di tepi jalan sekali gus mampu menarik lebih 5,000 pengunjung dalam satu masa.


“Kita percaya dan yakin, pasti akan berlaku gelombang baharu atau tsunami Melayu di Kuala Pilah dan khususnya di Johol berpihak kepada Harapan,” katanya.


Beliau yang juga calon N19 Johol, begitu teruja dan komited untuk membawa perubahan Dun itu pada PRU14.


“Majoriti penduduk Johol ialah orang Melayu dan kita mahu menarik mereka ini terus bersama Harapan pada PRU 14 demi selamatkan Malaysia terus tersasar dari landasan sedia ada.


“Kita berkeyakinan, dengan kehadiran Tun Mahathir membuka peluang dan ruang Dun seperti Johol, Senaling, Juasseh, Seri Menanti, Pilah membawa kemenangan kepada Harapan sekali gus menawan Negeri Sembilan,” katanya semalam.


Dalam pada itu, Zulkefly turut mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk mendengari isu semasa bakal dibentangkan oleh penceramah.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]