Intergriti sedang semak semula Pelan Intergriti Nasional

in Nasional by


SERDANG – Institut Integriti Malaysia (Intergriti) sedang menyemak semula pelan tindakan Pelan Integriti Nasional (PIN), yang dilancarkan pada tahun 2004, seiring dengan cabaran dan keperluan semasa.


Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Intergriti, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, Intergriti kini dalam proses menghalusi syor dan pandangan yang dikemukakan oleh pelbagai pihak bagi melakukan penambahbaikan ke atas aspek yang berkaitan dengan pelan tindakan PIN dan akan dilancarkan dalam waktu terdekat.


“Ia kini di peringkat akhir dan akan dilancarkan dalam waktu terdekat.


“Semakan ini mengambil kira perkembangan dan cabaran-cabaran semasa, serta kemungkinan keperluan akan datang,” kata beliau ketika berucap pada Forum Eksekutif dan Kempen Pelancaran Do It Right – Integriti Di Hati, di Dewan Kolej Pendeta Za’ba, Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini malam tadi.


Kedua-dua program itu merupakan sebahagian daripada acara sambutan Fiesta Intergriti yang diadakan semalam sempena ulang tahun ke-14 penubuhan Intergriti dan pelancaran PIN.


Turut diadakan pameran integriti dan Putra Integrity Walk.


Kata beliau, dasar dan isu-isu baharu serta perkembangan semasa yang dilaksanakan oleh kerajaan telah dijadikan elemen penting untuk diselarikan dalam proses menambah baik pelan tindakan PIN.


Segala input, idea dan cadangan yang diperoleh daripada peserta program dan aktiviti anjuran Intergriti khususya Dialog TN50 dan Roadshow Intergriti dipertimbangkan dalam proses penambahbaikan yang sedang dilakukan.


PIN menyasarkan lapan institusi dengan 22 objektif dan 32 strategi.


PIN dilancarkan pada 23 April 2004 di mana pada tarikh yang sama Intergriti ditubuhkan.


Fiesta Intergriti dianjurkan dengan kerjasama UPM.


Visi Intergriti yang ditubuhkan pada 23 April 2004, adalah membantu Malaysia ke arah mencapai negara berintegriti tinggi, yang berdaya tahan dan mengamalkan nilai-nilai murni sejagat.


Mengulas lanjut mengenai program Fiesta Intergriti, Dr Ahmad Fadzli berkata, ini kali pertama sambutan ulang tahun penubuhan Intergriti diadakan di kampus universiti, dan ia antara lain bertujuan mendekati golongan belia dalam usaha pemupukan dan penghayatan budaya berintegriti tinggi.


“Ini selari dengan seruan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menghadiri program Diskusi Intelektual pada 16 Januari yang lalu, di mana beliau antara lain berkata, semua pihak perlu bersatu tenaga bagi menjadikan agenda pembudayaan dan penghayatan integriti sebagai satu gerakan massa atau mass integrity movement,” katanya.

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]