Jangan salah tuding jari

in Politik by


JOHOR BAHRU – DAP Johor harap perhimpunan raksasa yang akan dianjurkan oleh MCA mencerminkan kebenaran.


Pengerusinya, Liew Chin Tong berkata, beliau berharap parti itu juga tidak akan menuding kepada pihak yang salah.


“Ia jelas menunjukkan Umno merupakan arkitek sebenar di belakang penyingkiran MCA.


“Ahli-ahli MCA seharusnya sedar sekarang siapa musuh anda yang sebenarnya,” katanya kepada Sinar Harian.


Terdahulu, MCA dilaporkan akan mengadakan perhimpunan raksasa di Parlimen Ayer Hitam sebagai memberi petanda awal bahawa parti tersebut tidak akan mudah membiarkan kawasan itu jatuh ke tangan pembangkang pada PRU14.


Chin Tong berkata, kini menjadi persoalan siapa MCA mahu menentang dalam perhimpunan raksasa itu nanti.


“Adakah Umno? MCA masih belum menyelesaikan rundingan (agihan) kerusi bersama ‘abang besar’ iaitu Umno dan hasilnya berlaku pergolakan dalaman di kalangan cawangan.


“Pada PRU13 lalu, Umno mengambil alih kerusi MCA di Kuantan, Wangsa Maju dan Gelang Patah. Kali ini, MCA berkemungkinan kehilangan Bandar Tun Razak dan Tebrau,” katanya.


Beliau mendakwa, perkara itu adalah tidak baik kepada MCA kerana kerusi yang dilihat boleh menang telah diambil oleh Umno.


“Malah Umno dilihat berhasrat untuk mengambil lebih banyak kerusi daripada MCA. Boleh kita lihat sekarang siapa yang cuba untuk menyingkirkan MCA?


“Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sendiri telah mengesahkan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Razak akan mengumumkan calon-calon MCA,” katanya.


Menurutnya, berbeza dengan Pakatan Harapan (Harapan), kesemua parti komponen bersetuju dengan pengagihan kerusi parlimen yang ingin ditandingi di Semenanjung.


“Ini pertama kali dalam sejarah apabila pembangkang menyelesaikan rundingan kerusi begitu cepat manakala parti komponen BN pula masih bercakaran sehingga mengugut untuk meninggalkan BN kerana rundingan kerusi.


“Mereka tidak mempunyai pilihan kecuali meminta ‘abang besar’ iaitu Presiden Umno bagi menyelesaikan pertikaian sebelum mereka boleh buat sebarang pengumuman,” katanya.


Calon Harapan Parlimen Ayer Hitam itu mendakwa, meletakkan nasib di tangan Presiden Umno hanya mencipta lebih banyak masalah.


“Umum tahu Umno hanya menekan gabungan tersebut dan tidak wujud kerjasama setara antara mereka malah Umno juga sedang cuba untuk menyelamatkan diri menerusi persempadanan semula kawasan parlimen.


“Dengan manipulasi kerusi marginal mereka menerusi pengasingan pengundi mengikut kaum dan etnik, Umno mempunyai peluang untuk menang kerusi berkenaan,” katanya.


Bagaimanapun, katanya, kesan daripada persempadanan semula dilakukan hanya mengurangkan peluang MCA untuk menang kerusi boleh menang mereka.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]