JDT kecundang di tangan Tok Gajah

in Sukan by


PASUKAN Johor Darul Ta’zim (JDT) tumpas 0-3 di tangan Pahang dalam aksi suku akhir kedua Piala Fa, di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos Larkin, sebentar tadi.


Kekalahan itu sekali gus menyaksikan JDT terpaksa melupakan hasratnya untuk terus berada dalam saingan terbabit.


Pada perlawanan berkenaan, ketiga-tiga gol Tok Gajah dijaringkan penyerang import mereka, Patrick Dos Santos.


Meskipun bermula garang, nasib tidak menyebelahi JDT apabila peluang mereka mendapatkan jaringan seawal minit ke-6 gagal disudahkan hasil rembatan Gonzalo Cabrera yang sedikit tersasar dari gawang pelawat.


Pahang kemudiannya berjaya memanfaatkan peluang di hadapan gol apabila Dos Santos berjaya menolak bola melepasi jangkauan Farizal Marlias tiga minit kemudian.


Bangkit memberikan tentangan, JDT kemudiannya cuba mencari gol penyamaan menerusi gandingan serangan Safawi Rasid dan Hazwan Bakri pada minit ke-24 namun gagal mencari penyudah.


Dos Santos sekali lagi mencuri tumpuan apabila berjaya menggandakan jaringan pada minit ke-58 hasil hantaran lintang pemain sayap Pahang, M Kogileswaran.


Malam gemilang Pahang dan Dos Santos dilengkapkan pada minit ke-76 selepas dia sekali lagi menjaringkan gol sekali gus mencipta hatrik untuk menghantar skuad Tok Gajah terus ke separuh akhir Piala FA tahun ini.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]