Lapan syarikat di bawah PNS sertai FIM2018

in Bisnes by


SEBANYAK lapan syarikat di bawah Perbadanan Nasional Berhad (PNS) menyertai Franchise International Malaysia (FIM) 2018 yang diadakan di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), Kuala Lumpur bermula 20 hingga 22 April.


Pengarah Urusannya, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin berkata, antara syarikat yang menyertai FIM 2018 adalah jenama minyak wangi daripada Timur Tengah, Abdul Samad Al-Qurashi (ASQ), dan jenama 1901 dan Gloria Jean’s Coffees (GJC).


Menurutnya, PNS juga membantu lima usahawan ‘Business In Transformation’ (BIT) untuk memperkenal dan mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka ke pasaran yang lebih luas iaitu Ar Nursing, Mudah Vending System, Zaman Diary, Oblong Burger dan Tishas.


“Dengan usaha yang dijalankan ini, saya mengharapkan lebih ramai usahawan francais mengenali PNS dan sekali gus dapat membentuk satu kerjasama baharu di antara PNS bersama penggiat-penggiat francais daripada dalam dan luar negara untuk berkongsi pengalaman, ilmu pengetahuan dan kepakaran bagi membantu menjadikan Malaysia sebagai hab francais di Asia Tenggara,” katanya dalam satu kenyataan media.


Syed Kamarulzaman berkata, seperti tahun sebelum ini, PNS menjadi penaja utama bagi program FIM 2018 selaras dengan peranan PNS yang menyokong penganjuran program ini dalam membantu pembangunan industri francais negara.


“FIM 2018 akan dijadikan platform untuk PNS mempromosikan peranan, produk dan perkhidmatan PNS dengan memberikan pendedahan kepada usahawan melalui maklumat dan khidmat nasihat. PNS juga membuka peluang kepada usahawan berpotensi untuk mengembangkan perniagaan mereka melalui jaringan kerjasama strategik antara PNS dengan usahawan-usahawan francais sedia ada,” katanya.


Beliau berkata, pelbagai program akan diadakan sempena FIM 2018 antaranya Pavilion korporat dan akan mempromosikan peranan dan produk yang melibatkan penyertaan dari Bahagian Operasi Perniagaan, Akademi PNS, Bahagian Hartanah dan Pelaburan PNS.


“PNS juga turut mengadakan sesi konsultasi dan ‘business pitching’ bagi memberikan informasi mengenai bidang francais kepada pengunjung yang hadir. Selain itu, PNS bekerjasama dengan Solviepro, iaitu pemenang utama Varsity Entrepreneurship Skills and Talents (VEST) 2017 bagi membina aplikasi ‘job placement’ bagi francaisor mencari pekerja di mana pengunjung yang hadir boleh memohon secara ‘online’ menggunakan aplikasi yang disediakan,” katanya.


Katanya, pengunjung juga berpeluang mendapatkan informasi mengenai pelaburan dan pengurusan hartanah yang dijalankan PNS dan lokasi hartanah PNS yang bersesuaian untuk disewa seperti lot pejabat dan ‘street mall’. Selain itu, PNS akan juga mempromosikan salah satu aset hartanah yang dimiliki sepenuhnya oleh PNS iaitu Pusat Latihan dan Resort, Serene yang terletak di Janda Baik, Pahang.


Selain itu, PNS turut menyediakan ‘mockup’ studio kepada mereka yang berbakat untuk menyertai ujibakat ‘Spotlight TV Presenter’.


FIM 2018 anjuran bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Persatuan Francais Malaysia (MFA) yang merupakan anjuran kali ke-25 diadakan bertujuan mempromosikan perniagaan francais dan meningkatkan sistem perniagaan francais sebagai suatu sistem yang mempunyai potensi di samping melahirkan lebih ramai usahawan francais di Malaysia.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]