Manifesto terbaik BN Kelantan

in Edisi by


KUALA KRAI – Manifesto BN Kelantan PRU14 yang dilancarkan di RTC Tunjong semalam adalah yang terbaik sehingga kini.


Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, beliau tidak pernah melihat ‘mood‘  rakyat begitu ceria sebaik pengumuman dibuat.


“Rakyat yang hadir begitu ramai daripada biasa, mereka kelihatan ceria untuk melihat Kelantan berubah wajah.


“Saya yakin, jika  diberi peluang memerintah Kelantan akan lebih terbilang kerana kita mampu melaksanakan setiap janji,” katanya ketika Perjumpaan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Guchil Tengah, Dun Guchil, hari ini.


Turut hadir, Adun Dabong, Datuk Ramzi Ab Rahman, bekas Ahli Parlimen Kuala Krai, Datuk Mat Razali Che Mamat serta kepimpinan Umno Bahagian Kuala Krai.


Beliau yang juga Pengerusi BN negeri, yakin BN akan dapat menawan Kelantan dengan sokongan di luar jangkaan daripada rakyat ketika pengumuman manifesto itu.


Menurutnya, dengan manifesto terbaik itu, Mustapa bukan sahaja mahu melihat BN menang di Kelantan tetapi berhasrat melihat parti itu menang besar dan mencipta sejarah seluruh negara.


“Kita mahu cipta rekod kemenangan bergaya  seluruh negara, jadi jangan sia-siakan peluang PRU kali ini.


“Ia berikutan manifesto yang diketengahkan amat dinanti-nanti rakyat terutama soal premium tanah yang dilihat agak tinggi di samping keperluan perumahan yang terdesak kita yakin 20,000 rumah dapat dibina jika kita menang,” katanya.


Ahli Parlimen Jeli itu juga meminta penyokong parti menerima dengan hati terbuka calon yang diketengahkan pucuk pimpinan.


“Kembalikan semangat 2004, BN menang  parlimen dan empat kerusi  dun.


“Kita boleh menang lagi sekiranya ada kerja kuat serta kerjasama dari akar umbi, “katanya.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]