Rakyat Jelebu protes, tak mahu calon MIC

in Politik by


JELEBU – Spekulasi yang timbul mengenai MIC mengambil kerusi Parlimen Jelebu dilihat sudah tidak terkawal lagi sehingga terdapat banyak bilik gerakan ditutup dipercayai kerana protes dengan khabar angin tersebut.


Pengerusi Ketua-ketua Kampung Daerah Jelebu, Dol Ramli Dol Mustafa berkata, ia berikutan kerusi Parlimen Jelebu sudah dianggap sebagai kerusi tradisi Umno.


“Orang ramai mula tunjuk protes dan bantah dengan menaikkan kain rentang menandakan tidak setuju dengan pertukaran tersebut.


“Mujur Ketua Umno Bahagian, Datuk Jalaludin Alias berjaya menenangkan kesemua jentera menyebabkan bilik gerakan yang sebelum ini ditutup, dibuka semula,” katanya kepada Sinar Harian.


Tegasnya, rata-rata orang lama di Jelebu mahukan calon dari Umno.


“Apa lagi yang kita boleh buat, sekarang ini kita hanya meminta pucuk pimpinan tertinggi pertimbangkan kembali pertukaran tersebut, dengan mengekalkan kerusi kepada BN.


“Kita khuatir jika rancangan tersebut diteruskan, akan berlakunya unsur sabotaj pada hari pengundian kelak,” katanya.


Dol Ramli berkata, malah jumlah pengundi India di Parlimen Jelebu hanya 5.9 peratus bersamaan kurang daripada 2,500 pengundi berbanding pengundi Melayu lebih 65 peratus (32,000 pengundi), Cina (24 peratus) dan Orang Asli (5.2 peratus).


“Saya mewakili penduduk Jelebu berharap cadangan pertukaran ini tidak diteruskan kerana bimbang bukan saja Parlimen Jelebu sebaliknya kerajaan negeri juga boleh kalah disebabkan isu ini.


“Mereka (pucuk pimpinan) perlu melihat jika Parlimen Jelebu kalah sudah pasti beberapa Dun di bawah Jelebu juga turut akan tumbang kepada pembangkang, kerana sudah jelas ramai yang tidak menyokong rancangan ini,” katanya.


Menurutnya, meskipun rancangan itu dibuat hanya mahu memenangkan BN tetapi tempat yang dipilih tidak sesuai lebih-lebih lagi majoriti penduduk Jelebu adalah masyarakat Melayu.


Sementara itu, Pengerusi Wanita Tani Triang Hilir, Habibah Harun berkata, seramai 17 badan bukan kerajaan (NGO) seluruh Parlimen Jelebu membantah ura-ura pertukaran kerusi sekali gus memohon supaya pucuk pimpinan mempertimbangkan situasi tersebut.


“Kami badan-badan NGO yang bernaung di bawah P126 Jelebu, merayu kepada pucuk pimpinan parti pertimbangkan semula pertukaran ini supaya tidak timbul pergolakan dalam kalangan ahli Umno terutama masyarakat di sini.


“Walaupun nama calon belum diumumkan lagi, tapi kami tak mahu tanggung risiko berdepan situasi yang boleh bawa kepada perpecahan dan dikhuatiri calon BN diwakili MIC akan ditolak pengundi Jelebu,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]