Reformasi institusi kembalikan kepercayaan rakyat

in Politik by


SHAH ALAM – Tiada guna menjanjikan manifesto yang manis jika gagal direalisasikan, sebaliknya kerajaan perlu mereformasikan institusi bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat.


Ketua Pemuda Pakatan Harapan (Harapan), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, gabungan pembangkang berjanji akan mengembalikan demokrasi Malaysia seperti mana negara baharu mencapai kemerdekaan dahulu.


Sehubungan itu, katanya, Harapan komited akan menjelmakan 10 janji manifesto dalam tempoh 100 hari pentadbiran sekiranya memenangi PRU14.


“Harapan akan membawa semangat pentadbiran Kerajaan Selangor seperti Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) dan melantik ketua pembangkang sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).


Barisan pembangkang juga akan menubuhkan Suruhanjaya Diraja terhadap beberapa skandal besar termasuk meletakkan beberapa institusi besar seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bawah Dewan Rakyat bukannya di bawah perdana menteri semata-mata.


Hal ini susulan siasatan 1MDB, penukaran Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Ketua Pesuruhjaya SPRM, memberi gambaran tidak baik terhadap kelangsungan institusi malah banyak kes tidak diambil tindakan,” katanya.


Berkaitan manifesto mengenai pemansuhan GST pula, kata Adun Seri Setia itu, ia menimbulkan banyak polemik terutama daripada mana sumber pendapatan negara.


Oleh itu, katanya, Harapan akan mengubah model ekonomi daripada ‘low cost’ kepada ‘high income economy’, jika dulu kita sasarkan pada 2020 kini dianjak kepada 2050.


“Justeru itu, bagi Harapan model ekonomi sedia ada wajar diubah dengan menjadikan PRU14 sebagai referendum terhadap GST kerana ini akan meyakinkan pengundi.


Ini kerana, rakyat tidak boleh lagi menerima ketirisan dan kebocoran wang negara sebanyak RM20 bilion setiap tahun sepertimana yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara.


Rakyat bayar GST, mereka mahukan perubahan dari sudut peningkatan ekonomi.


Harapan tidak mengatakan GST itu perlu ditolak secara total jika pendapatan rakyat lebih baik.”


Menyentuh bidang pendidikan percuma, Nik Nazmi berkata, ia di bawah bidang kuasa kerajaan pusat sebab itu kerajaan Selangor belum dapat melaksanakan pendidikan percuma.”


KETIKA ditanya mengapa pendidikan percuma tidak dimulakan dengan Universiti Selangor (Unisel) Nik Nazmi memaklumkan, yuran universiti swasta itu antara terendah ketika ini.


“Selain itu, Harapan juga memperkenalkan pengajian asasi percuma di Unisel.


“Bajet kerajaan pusat RM 200 bilion untuk bidang pendidikan manakala, Kerajaan Selangor cuma RM3 bilion saja, terlalu kecil untuk sediakan pendidikan percuma di Selangor.


Namun tetap memberi biasiswa kepada anak Selangor melanjutkan pengajian ke luar negara.”


Source: SH Politik

[featured-video-plus]