Saya tak berminat dengan jawatan dalam MOM: Hamidin

in Sukan by


SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan bahawa beliau tidak akan bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada mesyuarat agung tahunan (AGM) badan induk itu, Mei ini.


Menurut Hamidin, selain tidak berminat, beliau juga hanya mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada bola sepak negara sekiranya terpilih menerajui badan induk tersebut.


“Selepas mengadakan perbincangan dengan ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM dan juga mendapatkan nasihat daripada mantan Presiden FAM, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, saya dengan ini secara rasmi membuat keputusan untuk tidak akan bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden MOM pada pemilihan yang akan berlangsung pada 5 Mei 2018.


“Biarpun terdapat spekulasi media sebelum ini bahawa ada beberapa persatuan sukan mahu mencalonkan nama saya bagi jawatan berkenaan, saya ingin menyatakan di sini yang buat masa ini memang tidak berminat untuk memegang apa-apa jawatan dalam MOM.


“Keputusan ini dibuat kerana saya ingin memberi tumpuan dan fokus sepenuhnya terhadap bola sepak negara khususnya FAM sekiranya saya dinobatkan sebagai Presiden FAM yang baharu bagi penggal 2018-2021 pada kongres yang dijadual berlangsung pada 14 Julai 2018,” katanya.


Sebelum ini beberapa pihak termasuk Penolong Setiausaha Agung MOM, Datuk Sieh Kok Chi menasihatkan supaya Hamidin tidak memegang banyak jawatan hingga boleh membebankan tugasnya.


Hamidin hampir pasti dipilih sebagai Presiden FAM yang baharu selepas 18 daripada 20 ahli gabungan mencalonkan nama beliau untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Tunku Ismail.


Dengan pengesahan daripada Hamidin, perebutan kerusi nombor dua MOM itu bakal menyaksikan pertarungan dua penjuru antara Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin dan Datuk Seri Azim Zabidi.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]