Arul persoal DOJ tangguh saman 1MDB

in Nasional by


BUKIT BERUNTUNG – Presiden dan Pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy mempersoalkan tindakan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat yang menangguhkan saman sivil terhadap syarikat berkenaan.


Arul berkata, terdahulu DOJ dalam satu sidang media pada Julai 2016 memfailkan saman sivil bagi permohonan merampas aset berkaitan 1MDB di Amerika Syarikat.


Namun menurutnya, selepas hampir dua tahun, DOJ belum mengambil tindakan memulakan perbicaraan di mahkamah sebaliknya memohon penangguhan.


“Kenapa mengambil masa yang terlalu lama untuk perdengarkan kes ini di mahkamah dan bagi saya, ini seperti satu penafian.


“Pada masa sama, DOJ mengumumkan sedang menjalankan siasatan jenayah tetapi sehingga kini kita masih belum dengar sebarang perkembangan mengenai siasatan tersebut.


“Pada pandangan saya, sekiranya kes ini kuat, biarkan ia diperdengarkan di mahkamah kerana 1MDB sedia beri kerjasama dan membantu jika diminta,” katanya ketika ditemui pada program Kepochi Session anjuran Unit Y di Bukit Beruntung, semalam.


Program tersebut dimoderator pengacara televisyen, Wan Norsalam Wan Ahmad (Wans Ahmad) dengan membarisi Arul sebagai panel bersama Presiden Kelab Alumni Umno Luar Negara (AKULN), Wan Md Hazlin Agyl.


ArulĀ  turut mempersoalkan tindakan DOJ menandatangani penyelesaian bersama Pengasas, Red Granite Pictures yang merupakan salah satu syarikat yang dikaitkan dalam saman sivil tersebut.


“Berdasarkan pengetahuan saya melalui laporan akhbar pada Mac 2018, Red Granite Pictures di mana Riza Aziz sebagai pemegang saham telah menandatangani satu penyelesaian bersama DOJ.


“Red Granite difahamkan bersetuju untuk membayar AS$60 juta kepada kerajaan AS berhubungan penyelesaian itu.


“Bagi saya perkara ini menimbulkan persoalan kerana diselesaikan tanpa perbicaraan di mahkamah,”katanya.


Dalam pada itu beliau berkata, 1MDB tidak akan menambah atau membeli sebarang aset baharu sebaliknya memberi tumpuan untuk melunaskan hutang sedia ada.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]