Cubaan kelirukan pengundi

in Edisi Johor by


SENAI – DAP kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab menaikkan kain rentang dalam cubaan mengelirukan pengundi terhadap parti itu di tiga lokasi berlainan sekitar kawasan ini.


Kain rentang itu dipercayai dinaikkan semalam di kawasan Taman Aman, Taman Senai Utama dan jambatan kedua (secondlink) Saleng menunjukkan gambar penyandang kerusi Dun Senai, Wong Shu Qi.


Ia turut mempamerkan kata-kata terhadap Shu Qi iaitu pergi, pengundi Kluang akan memberi pengajaran besar kepada anda (get lost, may Kluang voters give you a big lesson).


Shu Qi yang juga Setiausaha Publisiti DAP memberitahu, tindakan tersebut merupakan taktik kotor pihak tertentu yang mahu menjatuhkan kredibilitinya sedangkan beliau sememangnya diterima selama lima tahun ketika memegang kerusi Dun Senai.


“Sebelum ini, parti lawan merasakan kawasan-kawasan kain rentang itu dinaikkan adalah selamat dan terus mendapat sokongan pengundi dan tidak perlu menyerang pemimpin DAP.


“Bagaimanapun, sewaktu saya memegang kerusi Dun Senai, saya jalin hubungan baik dengan pengundi di situ dan kerap turun padang menyebabkan mereka merasa kedudukan terancam hingga melakukan taktik sedemikian,” katanya.


Beliau berkata, parti pihak lawan juga sudah tidak mempunyai isu untuk menyerangnya kerana sendiri mengetahui bahawa beliau bekerja dan memberi khidmat di kawasan berkenaan.


“Tidak mengapalah. Ini terbukti mereka semakin goyang dan tidak mempunyai pegangan. Rakyat juga semakin bijak. Lagi banyak mereka buat, semakin benci rakyat,” katanya.


Sementara itu, penyandang kerusi Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkata, pihaknya yakin tindakan tersebut dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab kerana tidak meletakkan nama pada kain rentang itu.


“Kalau kita (DAP) gantung apa-apa, kita akan letak nama kita kerana ia tertakluk di bawah undang-undang. Ini kerana kita begitu bertanggungjawab dengan apa yang kain rentang kita naikkan.


“Kalau mereka rasa bekas Adun Senai (Shu Qi) memang tidak bertanggungjawab, letak sahajalah nama mereka. Kenapa tidak berani,” katanya yang memberitahu pihaknya telah menurunkan kain rentang itu dan tidak membuat laporan polis.


Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengumumkan Shu Qi merupakan calon kerusi Parlimen Kluang menggantikan Liew Chin Tong yang akan bertanding di Parlimen Ayer Hitam pada PRU14.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]