Cubaan seludup masuk arak gagal

in Nasional by


LAHAD DATU – Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (Maritim) Lahad DatuĀ  berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan masuk 108 botol arak daripada negara jiran melalui perairan Felda Sahabat di sini, malam tadi.


Timbalan Pengarah Operasinya, Leftenan Maritim Muhammad Zarif Mat Yunus berkata, pihaknya mengesan sebuah bot pancungĀ  mencurigakan di perairan Felda Sahabat yang menyusup masuk ke Kampung Pangkalan pada pukul 10 malam.


“Menyedari kehadiran bot maritim, bot suspek meluncur laju ke arah pesisir pantai dan juragan bertindak terjun ke laut meninggalkan bot.


“Pemeriksaan ke atas bot menemukan 96 botol arak jenama Tanduay Rhum dan 12 botol arak berjenama Red Horse Beer bernilai RM4,000,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Muhammad Zarif berkata, maritim komited meneruskan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti menyalahi undang-undang di perairan daerah ini.


Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat termasuk info kecemasan boleh menghubungi pusat operasi Maritim Malaysia Lahad Datu di talian 089-885727 atau MERS 999. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]