Detik cemas serangan jantung dalam penerbangan

in Nasional by


SHAH ALAM – Seorang pengetua sekolah mengalami detik mencemaskan apabila mengalami komplikasi serangan jantung ketika dalam penerbangan untuk lawatan rasmi ke Turki, awal pagi semalam.


Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Sentosa, Raimi Ramli yang mengalami sakit di bahagian dada dan sesak nafas, bagaimanapun bernasib baik apabila seorang doktor turut berada dalam penerbangan sama, memberikan rawatan awal sebelum juruterbang membuat pendaratan cemas di Tehran, Iran.


Menurut Pengetua SMK Ampang Pecah yang juga rakan Raimi, Safiruddin Saud, ketika berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 11.50 malam pada Khamis lalu, Raimi tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda berkaitan masalah kesihatan.


“Setelah enam jam penerbangan, Raimi ada beritahu dia sakit dada dan sukar bernafas. Setelah berlarutan, kita maklumkan kepada kru penerbangan.


“Mujurlah ada seorang doktor dari Kanada yang berikan rawatan awal sebelum sarankan supaya pendaratan cemas dilakukan.


“Alhamdulillah, pesawat selamat buat pendaratan cemas di Tehran dan Raimi kemudiannya dihantar ke Sina Hospital. Selepas pemeriksaan lanjut, difahamkan terdapat dua injap saluran tersumbat di jantung dan dia terpaksa ditahan di wad,” katanya kepada Sinar Harian.


Safiruddin yang juga bersama Raimi menjelaskan, pihak hospital telah melakukan rawatan ‘stent’ bagi membuka saluran injap yang tersumbat sebelum membuat pemeriksaan lanjut hari ini.


Katanya, setelah dua hari mendapat rawatan di Tehran, kondisi Raimi dilihat semakin stabil dan lebih baik, namun masih menghadapi sedikit masalah kelancaran pernafasan.


“Difahamkan tiub ‘stent’ pada paha Raimi telah dicabut hari ini dan hasil rawatan kardiologi menunjukkan perkembangan positif, cuma ada sedikit masalah macam cepat letih, jika semuanya lancar, insyaALLAH boleh keluar Isnin ini.


“Dari segi layanan dan perkhidmatan pula semuanya baik-baik sahaja dan saya diberitahu pihak Turkish Airline akan menyelesaikan dari segi kos rawatan dan kos penerbangan ke Turki,” katanya.


 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]